Pengeluaran Akaun 2 KWSP untuk insurans kesihatan: Penawar segera atau beban di hari tua?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CADANGAN untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan Akaun 2 bagi membayar insurans kesihatan dan kos rawatan di hospital swast menimbul pelbagai polemik dan 1001 tanda tanya kepada rakyat marhaen.

Ini kerana dari sudut positif ramai melihat syor disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan boleh bantu rakyat terutama pencarum KWSP mendapatkan perlindungan kesihatan lebih menyeluruh khususnya untuk rawatan di hospital swasta.

Ini kerana dengan hanya sebahagian kecil wang dari Akaun 2 digunakan bagi membayar premium bulanan, ia dilihat tidak membebankan dan memberi pilihan kepada rakyat.

Perkara itu dilihat perlu susulan hospital kerajaan kini semakin sesak, manakala kos rawatan di kemudahan kesihatan swasta pula amat tinggi ketika ini sekaligus menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu lama untuk menjalani prosedur.

Tambahan pula, statistik semasa menunjukkan hanya 32 peratus kos rawatan dan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia kini dibiayai melalui insurans, manakala selebihnya terpaksa dibayar sendiri oleh pesakit.

Oleh itu, langkah membenarkan pencarum menggunakan caruman Akaun 2 KWSP dilihat sebagai satu penyelesaian terbaik dan perlindungan kesihatan komprehensif kepada rakyat tanpa mengusik wang poket mereka terutama dalam kalangan golongan B40 dan M40.

Bagaimanapun daripada sudut negatifnya ada pihak melihat bahawa langkah berkenaan bakal menyebabkan simpanan hari tua selepas pencarum KWSP semakin surut dan tidak mencukupi.

Malah, Laporan The State of Households 2024 oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendedahkan bahawa lebih 90 peratus pencarum KWSP berusia bawah 30 tahun tidak mempunyai simpanan asas mencukupi untuk hari tua.

Artikel Berkaitan:

Hanya 10 peratus dalam kumpulan umur ini mempunyai simpanan melebihi RM35,000, sedangkan itulah jumlah minimum yang disasarkan menjelang usia 30 tahun untuk mencapai simpanan RM240,000 pada umur 55 tahun.

Ini kesan langsung daripada siri pengeluaran KWSP semasa pandemik seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. Jika pengeluaran Akaun 2 terus dibenarkan secara fleksibel, walaupun untuk tujuan kesihatan, tidak mustahil rakyat akan berdepan masa tua tanpa perlindungan kewangan yang cukup.

Berikutan itu, cadangan ini hanya wajar diteruskan jika disertakan dengan kawalan ketat terhadap jenis insurans yang dibenarkan, had pengeluaran yang munasabah, dan pendidikan kewangan berterusan untuk semua pencarum.

Pada masa sama, langkah kerajaan memperkenalkan inisiatif Rakan KKM dengan memanfaatkan kapasiti lebihan hospital seperti di Putrajaya, Cyberjaya dan Serdang juga boleh dijadikan pelengkap kepada pendekatan ini tanpa menjejaskan simpanan persaraan rakyat.

Kesimpulannya, tidak salah kerajaan berusaha menyediakan penyelesaian kepada masalah kesihatan rakyat, tetapi ia mesti dilakukan tanpa menggadai masa depan kewangan mereka. Jangan sampai rakyat hidup sihat hari ini, tetapi miskin dan tidak berdaya apabila tua nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!