AKPS rampas ubat tak berdaftar bernilai RM17,100 cuba diseludup di KLIA

SEPANG – Pasukan Penguat Kuasa Farmasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mematahkan cubaan membawa masuk ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai kira-kira RM17,100 melalui Pos Malaysia International Hub (PMIH) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa.
AKPS Salam kenyataan berkata, hasil pemeriksaan sekitar jam 11 pagi menemukan sebuah bungkusan mencurigakan dari Kemboja yang dialamatkan kepada seorang individu di Klang.
"Pemeriksaan lanjut mendedahkan bungkusan tersebut menyembunyikan 3,420 biji ubat-ubatan tidak berdaftar yang dipercayai mengandungi bahan psikotropik tersenarai dalam Jadual Ketiga, Akta Racun 1952.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi 3,420 biji ubat terdiri daripada 3,000 biji tablet Alprazolam 0.5mg yang dianggarkan bernilai RM15,000 dan 420 biji tablet Zolpidem 10mg bernilai RM2,100," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut AKPS, cubaan pengimportan itu merupakan satu kesalahan serius dipercayai melanggar Akta Racun 1952 serta Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman berat jika disabitkan kesalahan.
"Pasukan Penguat Kuasa Farmasi AKPS menegaskan sebarang ubat tidak berdaftar yang tidak melalui kawalan kualiti dan keselamatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpotensi mendatangkan kesan sampingan berbahaya serta mengancam nyawa pengguna," katanya.
Menurutnya, semua ubat-ubatan dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur sedia ada.
"AKPS menegaskan komitmen untuk terus memperketat kawalan di pintu masuk negara dan memberi amaran keras bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana cubaan penyeludupan ubat-ubatan haram yang boleh menggugat keselamatan dan kesihatan awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
