16,650 kelapa cuba diseludup dirampas di sempadan Golok

Lori yang disyaki digunakan bagi membawa kelapa untuk diseludup ke Thailand dengan menggunakan bot nelayan
Lori yang disyaki digunakan bagi membawa kelapa untuk diseludup ke Thailand dengan menggunakan bot nelayan
A
A
A

KOTA BHARU – Sekumpulan penyeludup gagal melarikan muatan kelapa yang dibawa dari Malaysia selepas tindakan pantas oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga ketika menjalankan rondaan di perairan Pangkalan Kubor, Tumpat pada Sabtu lalu.

Dalam operasi itu, pasukan berkenaan turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam cubaan penyeludupan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM249,900.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, sebuah bot nelayan asing yang dipenuhi kelapa dikesan kira-kira jam 8 malam semasa rondaan bot PS 2 dalam Op Taring Landai/Pensura.

Menurutnya, bot itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan dan bergerak ke arah sempadan Sungai Golok.

“Bot ronda PS 2 tidak sempat memintas bot berkenaan kerana ia telah memasuki sempadan Thailand,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pasukan ronda menyuluh ke arah bot tersebut dan mendapati terdapat timbunan kelapa dinaikkan ke atas dek.

“Bot PS 2 kemudian menghampiri tebing sungai di kawasan pangkalan haram berhampiran Sarang Burung Tualang, Pengkalan Kubor dan meminta bantuan daripada anggota Unit Risik Marin,” katanya.

Pasukan gabungan tersebut bertindak menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 45 tahun di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati muatan sebanyak 16,650 biji kelapa sodok dipercayai untuk diseludup keluar ke Thailand menggunakan bot nelayan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Zulafendy, kesemua suspek mengaku sebagai pemilik kelapa, pemandu dan kelindan kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Semua barangan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 kerana menjalankan urus niaga kelapa tanpa lesen dan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah perairan diminta menghubungi PPM Wilayah Tiga di talian 09-5137726 atau e-mel ke gerakanw3@gmail.com.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!