Perak sudah peruntuk RM10 juta untuk institusi pendidikan Islam

IPOH - Kerajaan Perak menyediakan peruntukan RM10 juta bagi tahun 2025 untuk institusi pendidikan Islam di negeri ini malah jumlah tersebut selesai diagihkan kepada sekolah memerlukan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sekali gus menjawab persoalan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali mengambarkan seolah-olah kerajaan negeri tidak memberi perhatian kepada institusi pendidikan Islam.
Menurutnya, peruntukan itu melebihi jumlah diberikan kepada sembilan sekolah persendirian Cina (Suwa) berjumlah RM1.8 juta yang dibangkitkan wakil rakyat pembangkang itu ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025.
"Ketika menyebut itu dia boleh bertanya balik, sekolah-sekolah Islam ini macam mana? Seolah-olahnya kita berbelanja RM1.8 juta kepada sekolah Cina tapi tak berbelanja untuk sekolah agama. Jadi, kalau saya tak jawab, bermakna apa yang disebut itu macam betul.
"Sebelum ini sekolah Suwa, sekolah Tamil dan sekolah agama di negeri diberikan sebidang tanah untuk diusahakan oleh lembaga pengelola namun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19. Selepas itulah peruntukan RM1.8 juta diberikan kepada Suwa, RM1 juta kepada sekolah Tamil dan RM10 juta kepada sekolah agama," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas selesai menggulung perbahasan RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Saarani berkata, peruntukan disediakan itu telah diumumkan sebelum ini di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada alasan bahawa maklumat mengenainya tidak diperoleh.
Mengenai RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang diluluskan sebulat suara tanpa pindaan, beliau memaklumkan terdapat dua sesi libat urus diadakan bersama ADUN kerajaan dan pembangkang mengenai perkara tersebut sebelum dibentang.
Menurutnya, disebabkan itu sesi perbahasan berlangsung dalam keadaan baik dan lancar dengan beberapa cadangan penambahbaikan yang dilihat boleh dilaksanakan di peringkat pelaksanaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

