740 kios diserah sebelum hujung bulan ini – Exco Pahang

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Sebanyak 740 unit kios di bawah inisiatif MyKiosk yang diterima di seluruh Pahang akan diserahkan secara berperingkat kepada penyewa sebelum akhir bulan ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehingga kini sebanyak 464 unit telah diserahkan kepada penyewa.
“Baki 276 unit lagi sedang dalam proses agihan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
“Jadi, saya jangkakan keseluruhan proses itu akan selesai menjelang hujung bulan ini,” katanya pada Khamis.
MyKiosk merupakan antara inisiatif utama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2024 bagi memacu semula perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kios ini dibina menggunakan spesifikasi khas yang ditetapkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk penggunaan struktur bahagian berongga segi empat (SHS) bersalut, lantai besi ‘chequered plate’, bumbung panel komposit dan kemudahan solar inverter.
Pelaksanaan inisiatif berkenaan di Pahang khususnya di bawah Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), melibatkan naik taraf tapak jaja sedia ada dan penempatan semula penjaja tanpa lesen (OTS) ke lokasi yang lebih sesuai.
Beliau menjelaskan, penyerahan kios itu merupakan sebahagian inisiatif kerajaan negeri dalam memberi ruang dan peluang kepada peniaga kecil memulakan perniagaan di lokasi strategik.
“Kita bantu golongan B40 dan peniaga kecil mendapatkan tempat niaga yang sah, bersih dan lebih teratur,” katanya.
Mohammad Fakhruddin berkata, MyKiosk bukan sekadar memperkenalkan reka bentuk baharu yang lebih kukuh dan menarik, tetapi turut mengambil kira kadar sewaan yang dikenakan kepada peniaga.
“Kios baharu ini menggantikan kios lama dengan sewa sekitar RM200 sebulan dan tiada kenaikan sewa dikenakan buat masa ini.
“Namun, ia masih tertakluk kepada keputusan PBT dan kadar maksimum yang ditetapkan hanyalah RM300 sebulan,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan Ketua Pengarah KPKT supaya mengambil tindakan segera dan meminta pihak PBT memberikan jawapan terhadap kios yang masih tidak diagihkan.
“Seluruh negara ada 156 PBT dan mereka yang uruskan mengenai pengagihan kios, kelulusan permohonan dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!