Serangan Israel di Doha bukti sabotaj usaha damai - ABIM

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Israel ke atas ibu negara Doha, Qatar pada Selasa.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, penghinaan terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat serta sabotaj terhadap segala usaha damai yang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa.
Menurutnya, tindakan Israel menyerang kepimpinan Hamas di tengah-tengah mesyuarat gencatan senjata di Doha adalah bukti jelas bahawa mereka tidak menghormati mediator, menolak rundingan dan menolak jalan damai.
“Sejarah pasti akan menghukum kegilaan perang yang dilakukan Netanyahu dengan restu Amerika Syarikat, yang turut memiliki aset ketenteraan terbesar di rantau ini.
“Realitinya, Israel tidak pernah serius untuk berunding. Mereka mahu mengekalkan penjajahan dan menjadikan peperangan sebagai strategi kekal.
“Dengan menyasarkan Qatar, sebuah negara yang memainkan peranan sebagai pengantara, Israel memberi isyarat bahawa tiada negara pun selamat daripada keangkuhan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahmad Fahmi turut menimbulkan persoalan tentang jaminan bahawa Malaysia dan negara lain tidak akan dijadikan sasaran atas alasan kononnya menentang Hamas kerana sebuah negara neutral juga boleh diserang.
Tambahan pula katanya, Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan kenyataan tegas, serta rakyat Malaysia turut menyertai delegasi terbesar dalam Global Sumud Flotila yang menunjukkan komitmen jelas dan tegas negara berdiri bersama Palestin.
“Kemarahan dunia tanpa tindakan tidak akan menghentikan genosid. Sejak 7 Oktober 2023, lebih daripada 65,000 rakyat Palestin telah dibunuh termasuk ramai wanita dan kanak-kanak.
“Hospital, sekolah dan penempatan sementara rakyat dibom tanpa belas kasihan, menjadikan Gaza menghadapi krisis kemanusiaan paling dahsyat dalam sejarah moden. Rakyatnya kebuluran, kehausan, sakit tanpa rawatan, sementara rejim Israel terus menggila tanpa sebarang akauntabiliti dan pengadilan,” tegasnya.
Tambah beliau, PBB juga gagal melaksanakan mandatnya kerana resolusi demi resolusi untuk melindungi orang awam berulang kali ditolak atau diveto.
Katanya, ia membuktikan sistem antarabangsa lumpuh dan hanya menjadi perisai retorik yang melindungi penjenayah perang.
“Kata-kata tanpa tindakan, sekatan atau mekanisme akauntabiliti hanyalah lesen untuk Israel terus membunuh tanpa henti. Jika PBB benar-benar mahu menegakkan keamanan, mereka mesti melangkaui sekadar kecaman.
“Serangan Israel di Doha adalah amaran bahawa kezaliman ini bukan lagi isu Palestin semata-mata, tetapi ancaman global yang meragut nyawa, mencabul kedaulatan, dan mengancam keamanan sejagat.
“Dunia mesti berani bertindak dengan langkah konkrit untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, didakwa atas jenayah perang, dan dipaksa tunduk kepada undang-undang antarabangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

