Bayi parah disyaki didera: Suami isteri direman tujuh hari

A
A
A

MELAKA – Sepasang suami isteri muda direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Seksyen di sini pada Rabu kerana disyaki mendera bayi lelaki mereka yang berusia dua bulan hingga parah dalam kejadian di Sungai Petai, Alor Gajah.

Pasangan tersebut, masing-masing berusia 22 tahun dan merupakan penganggur, ditahan polis pada jam 7.30 malam Selasa lalu sebelum dibawa ke mahkamah pada jam 9.15 pagi Rabu.

Hakim Haderiah Siri membenarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek bermula Rabu hingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa bayi tersebut kini bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam selepas dipercayai didera.

Menurut sumber, insiden menimpa bayi tunggal pasangan itu terbongkar selepas si ibu membawa anaknya ke Hospital Alor Gajah dengan mendakwa bayi tersebut mengalami sawan.

Pasangan suami isteri ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Rabu.
Pasangan suami isteri ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Rabu.

Sebaik tiba di hospital, bayi malang itu didapati tidak sedarkan diri sebelum wanita berkenaan menghilangkan diri, dipercayai pulang ke rumah. Bayi itu kemudian dirujuk ke Hospital Melaka.

"Pemeriksaan oleh doktor pakar menemui kesan lebam dan luka pada badan serta leher bayi, selain pendarahan lama dan baharu dalam kepala,” katanya.

Tambahnya, doktor yang merawat telah membuat laporan polis selepas mengesyaki bayi tersebut menjadi mangsa penderaan. Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Melaka.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan juga, si bapa turut menepuk dada bayi tersebut beberapa kali kerana berang dengan tangisannya, manakala si ibu disyaki telah menghempas bayi itu ke lantai.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memaklumkan bahawa kedua-dua ibu bapa mangsa telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!