RUU Pekerja Gig: Malaysia jadi rujukan ASEAN, dunia - KESUMA

KUALA LUMPUR – Malaysia kini muncul sebagai negara rujukan kepada rantau ASEAN dan dunia selepas Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 pada Selasa.
Kelulusan RUU itu turut mencatat sejarah baharu dalam melaksanakan undang-undang progresif bagi sektor ekonomi gig.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam kenyataan berkata, RUU berkenaan memberi perlindungan kepada hampir 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara, menoktahkan era tanpa payung undang-undang yang sebelum ini membelenggu golongan terbabit.
Menurutnya, pekerja gig yang menjadi salah satu teras penting ekonomi negara sebelum ini tidak dapat mempertahankan hak kerana tiada pengiktirafan dalam mana-mana akta buruh sedia ada.
“RUU ini merupakan hasil mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada Kesuma pada Mac 2024 bagi merangka mekanisme khas untuk membela hak dan kepentingan pekerja gig di Malaysia,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut Kesuma, sejak mandat itu diberikan hampir 40 sesi libat urus dilaksanakan di seluruh negara, melibatkan lebih 4,000 pemegang taruh dan lebih 500 maklum balas secara dalam talian diterima.
Libat urus tersebut turut menghimpunkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, syarikat platform, persatuan pekerja gig, kesatuan sekerja, akademik dan pertubuhan masyarakat.
“Proses penggubalan turut diperkukuh dengan penanda aras antarabangsa serta pembentangan di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva yang mengesahkan kesesuaiannya dengan piawaian global,” jelas kenyataan itu lagi
RUU Pekerja Gig 2025 merangkumi 112 fasal dalam 10 bahagian dengan empat fokus utama.
Pertama, memuktamadkan definisi pekerja gig yang sebelum ini tidak dilindungi dalam akta buruh, sambil mengekalkan status fleksibel sebagai freelancer atau bekerja sendiri.
Kedua, mewujudkan Majlis Perundingan yang menghimpunkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak bagi membincangkan isu kadar bayaran, kontrak standard serta perkara berkaitan.
Ketiga, menubuhkan Tribunal Pekerja Gig sebagai saluran penyelesaian pertikaian yang mudah, cepat dan kos efektif.
Keempat, memperkukuh perlindungan keselamatan sosial menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kesuma menjelaskan, RUU tersebut sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu dan diiktiraf sebagai proses telus serta inklusif hasil penyertaan ribuan pihak berkepentingan.
Malah jelasnya, ia turut dinilai oleh pakar daripada pelbagai sektor termasuk akademik, perundangan, ekonomi dan organisasi pekerja sebagai berpotensi menjadi penanda aras global dalam perundangan ekonomi gig.
“Melalui kelulusan rasmi di Dewan Negara ini, RUU Pekerja Gig 2025 kini sebuah realiti yang membuktikan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan dan perlindungan sosial pekerja gig,” katanya
Kesuma menambah, fokus selepas ini adalah langkah pewartaan dan penguatkuasaan akta tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang taruh utama atas input, sokongan dan sumbangan sepanjang proses penggubalan undang-undang ini selama dua tahun,” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

