PPRPM puji semangat rakyat Malaysia, kenal pasti langkah bantu pekerja gig di negara ini

Laporan Sinar Harian mengenai ramai rakyat Malaysia mengambil peluang membantu Indonesia dengan membuat pesanan makanan melalui aplikasi Grab dan Ojek dalam talian (ojol). Gambar kecil:Haris Fadilah
Laporan Sinar Harian mengenai ramai rakyat Malaysia mengambil peluang membantu Indonesia dengan membuat pesanan makanan melalui aplikasi Grab dan Ojek dalam talian (ojol). Gambar kecil:Haris Fadilah
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) memuji solidariti rakyat Malaysia yang membantu penghantar makanan di Indonesia.

Presidennya, Haris Fadillah Arsyad berkata, tindakan rakyat tempatan yang menyalurkan sumbangan serta membuat tempahan secara dalam talian menunjukkan semangat keprihatinan serantau yang wajar dicontohi.

“Sekiranya situasi sama berlaku di Malaysia, PPRPM telah mengenal pasti beberapa langkah segera dan jangka panjang untuk membantu ahli yang terkesan.

“Kita akan segera menggerakkan tabung kebajikan, melancarkan kempen derma kilat dan menyalurkan bantuan makanan asas kepada rider yang hilang punca pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Haris Fadillah berkata, PPRPM turut merancang untuk menubuhkan Dana Solidariti Rider sebagai persediaan menghadapi sebarang krisis pada masa depan.

Justeru, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penyedia platform bagi mencari jalan penyelesaian sementara, termasuk pemberian subsidi, insentif khas atau elaun kecemasan kepada ahli yang terjejas.

“Kelulusan Rang Undang-Undang Pekerja Gig baru-baru ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan lebih 1.12 juta pekerja gig di negara ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!