Datuk Seri didakwa benarkan pernyataan palsu dalam dokumen SSM

KUANTAN – Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Ogos lalu atas satu pertuduhan membenarkan pernyataan palsu dimasukkan dalam dokumen berkanun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Sazlina Safie.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan SSM, Mohd Nazrul didakwa telah membenarkan setiausaha syarikat KMDI Holding Sdn Bhd membuat pernyataan berhubung peletakan jawatan pengarah-pengarah syarikat tersebut sedangkan mengetahui maklumat tersebut palsu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 591(2) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan SSM, Faizal Mahdi Mahmud sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nazrin Mohd Seth.
Hakim, Sazlina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pada 23 Julai lalu, isteri Mohd Nazrul Izad iaitu Datuk Azjuriyahti Azlan selaku pengarah syarikat KMDI Holding didakwa atas pertuduhan sama.
Dalam pada itu, SSM memberitahu, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang memberi laporan palsu atau mengelirukan SSM.
"SSM konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti," katanya menerusi kenyataan media terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

