PFC Terbuka 2025 lonjak pelancongan sukan Perak

IPOH – Penganjuran pertandingan Pickleball Fun Club (PFC) Terbuka 2025 dijangka meletakkan bandar raya Ipoh sebagai destinasi pilihan pelancongan sukan baharu di negara ini.
Penganjur, Vincenns Lim berkata, kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh PFC Ipoh bersama Perfect Sports Pickleball Club itu menyaksikan penyertaan lebih 250 pemain dari seluruh negara.
“Kita juga menerima penyertaan daripada pemain profesional termasuk dari Singapura dan China sekali gus menjadikan pertandingan yang berlangsung di Padang Sultan Abdul Jalil di sini antara yang terbesar pernah diadakan di Perak.
“Tiga kategori utama dan enam subkategori dipertandingkan pada Sabtu dan Ahad ini dengan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM40,000,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Tourism Perak di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie.
Vincenns berkata, pertandingan berkenaan turut membantu mempromosikan sektor pelancongan sukan dengan kerjasama Tourism Perak.
“Pertandingan ini mampu merangsang perniagaan tempatan dan pada masa sama berjaya menarik penaja-penaja korporat untuk memberi fokus kepada pasaran di Ipoh.
“Kami juga berharap kejohanan ini dapat mencungkil bakat pemain berpotensi untuk mewakili negeri termasuk dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
