Lelaki tak mengaku peluk, 'sentuh' anak tiri

SEREMBAN - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 15 tahun, Julai lalu.
Tertuduh berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pemasang khemah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan dengan cara memeluk dari belakang seterusnya memegang buah dada dan kemaluan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 9 malam di Kampung Bukit Perah, Batu Kikir di Jempol pada 29 Julai lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya,Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM40,000 dengan syarat tambahan.
Norazihah memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh merupakan bapa tiri mangsa dan selepas kejadian, mangsa dijaga oleh bapa kandungnya yang tinggal di Kuantan, Pahang.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman jaminan paling rendah dan akan dijamin oleh bapanya.
Bapa tertuduh sudah berusia lebih 60 tahun dan kini bekerja sambilan sebagai pemandu p-healing.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Oktober depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

