Pembangkang kemuka usul pendekkan penggantungan Razman

POH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menerima usul yang meminta agar tempoh penggantungan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dipendekkan.
Usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, itu dihantar kepada Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid satu jam sebelum persidangan bermula.
Menurut Zainol Fadzi, usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1)(p), 21(1)(2), dan 76(1) Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk dipertimbangkan oleh Dewan.
“Usul ini adalah bagi memohon kepada Speaker untuk merundingkan satu urusan awam yang berkepentingan dan perlu disegerakan, iaitu bahawa Dewan yang mulia ini, setelah mengambil maklum keputusan pada 16 April 2025 untuk menggantung YB Gunung Semanggol (Razman) daripada menghadiri persidangan Dewan selama enam bulan berdasarkan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, serta menimbang kepentingan rakyat dan prinsip representasi.
“Tempoh penggantungan YB Gunung Semanggol sewajarnya dipendekkan kerana ia merupakan kesalahan kali pertama. Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira hak dan kepentingan rakyat di kawasan DUN Gunung Semanggol serta prinsip keluhuran Dewan yang termaktub dalam Perintah Tetap 17(1)(p) dan Perintah Tetap 76(2), dibaca bersama peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak bersama ADUN-ADUN pembangkang, di sini pada Selasa.
Zainol Fadzi berkata, perkara ini perlu dirundingkan dan dibawa semula kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berdasarkan Perintah Tetap 76(1) Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, kerana sewajarnya Razman diberikan hak untuk bersuara sebagai wakil rakyat.
Katanya, perkara itu bersifat urusan awam yang melibatkan rakyat di kawasan DUN Gunung Semanggol dan perlu dirundingkan segera atas pertimbangan bahawa hukuman yang dikenakan terlalu berat bagi dakwaan kesalahan yang dilakukan.
Jelasnya lagi, Razman juga telah membuat permohonan maaf dalam Dewan dan semasa prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, serta kenyataan yang dibuatnya tidak berniat menimbulkan sifat perkauman terhadap mana-mana pihak.
Beliau berkata, tanggungjawab Razman untuk memantau kerajaan dan meluluskan undang-undang juga kini terjejas.
Sementara itu, Mohammad Zahir ketika mengumumkan usul berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti perkara tersebut dan mengumumkan keputusan mengenainya pada akhir Sidang DUN hari ini.
Pada 16 April lalu, DUN Perak meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria, daripada menghadiri persidangan DUN selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.
Usul tersebut dibentangkan oleh Ong Boon Piow (PH–Bercham) dan disokong oleh Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN–Rungkup) ketika Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.
Razman dikenakan tindakan tersebut selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

