Ibu Kota Nusantara bakal jadi gajah putih?

Salah sebuah hospital yang dibangunkan di kawasan tersebut. Foto AFP
Salah sebuah hospital yang dibangunkan di kawasan tersebut. Foto AFP
A
A
A

NUSANTARA - Projek mega Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur yang dicanangkan terus senyap tanpa sebarang perkembangan terbaharu, selepas ia dibuka kepada pelancong kira-kira setahun lalu.

Bakal ibu kota baharu Indonesia itu merupakan projek legasi bekas Presiden, Joko Widodo atau Jokowi dan ia kini berdepan masalah bajet malah tumpuan penggantinya, Prabowo Subianto dikatakan telah beralih kepada rancangan lain.

Kumpulan pelancong dan penjawat awam melalui pusat utama di IKN. Foto AFP
Kumpulan pelancong dan penjawat awam melalui pusat utama di IKN. Foto AFP

Hal itu menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar akan menggantikan ibu kota Jakarta yang berpotensi tenggelam menjelang 2050.

“IKN seakan-akan dipinggirkan. Prabowo lebih memfokuskan projek dasar utama berkaitan kebajikan seperti program Makan Bergizi Gratis (MBG),” kata peguam kanan di firma penasihat dasar awam, Global Counsel, Dedi Dinarto.

Dedi percaya tidak akan ada pembangunan pesat dalam masa terdekat kerana ia bukanlah projek utama di bawah pentadbiran Prabowo.

“Tanpa momentum yang kuat, ia berisiko menjadi gajah putih,” menurutnya.

Prabowo hanya pernah menyebut sekali tentang IKN menerusi ucapan pertamanya selain memotong bajet projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

Belanjawan rasmi menunjukkan pengurangan daripada 43.4 trilion rupiah (RM12.6 bilion) pada 2024 kepada 6.3 trilion rupiah (RM1.8 bilion) pada 2026 meskipun pihak berkuasa di IKN memohon lebih 21 trilion rupiah (RM6.09 bilion) untuk bajet 2026.

Pembiayaan daripada dana asing juga masih sukar diperoleh walaupun ada tawaran daripada sekutu dari Asia Barat dan Asia.

“Prabowo mungkin tidak ambil peduli kerana projek itu bukan hasil ideanya. Saya masih 50-50. Pemotongan bajet bermakna banyak lagi infrastuktur tidak dapat disiapkan pada waktu ditetapkan,” kata seorang pegawai terlibat pembangunan IKN.

Difahamkan, lebih 1,000 kakitangan perbandaran sudah menetap di Nusantara bersama ratusan staf kementerian, perkhidmatan dan perubatan.

Angka itu jauh lebih rendah daripada 12 juta penduduk Jakarta dan matlamat untuk menempatkan kira-kira dua juta populasi di IKN menjelang 2045.

Projek tergendala

Projek pembinaan IKN secara berperingkat yang tergesa-gesa itu adalah buah fikiran Jokowi selepas beliau memenangi penggal kedua pada 2019.

Sebahagian jalan raya yang masih dalam pembinaan. Foto AFP
Sebahagian jalan raya yang masih dalam pembinaan. Foto AFP

Ia masih belum dirasmikan sebagai ibu kota baharu meskipun tarikh asal dijadualkan pada 17 Ogos 2024.

“Pada era pentadbiran Jokowi, masa berlalu agak pantas. Tetapi, waktu agak perlahan di bawah tampuk kepimpinan Prabowo,” ujar pereka bandar itu, Sofian Sibarani.

Menurutnya, hanya 800 daripada 6,600 hektar kawasan hutan telah dibangunkan atau diteroka untuk pembinaan.

Namun, ada segelintir pegawai di IKN yang kekal positif dan percaya bandar itu sebagai pusat kuasa masa depan Indonesia.

Ketua pihak berkuasa perbandaran, Basuki Hadimuljono berkata, projek di kawasan eksekutif lebih kecil yang menempatkan Istana Presiden dan kementerian utama sudah pun 97-98 peratus siap.

Beliau mendakwa Prabowo mahu berpindah pada 2028 sebelum Pilihan Raya Presiden akan datang.

“Presiden akan tandatangani dekri tentang langkah pemindahan dari Jakarta apabila kawasan perundangan dan kehakiman selesai dalam tempoh dua tahun lagi,” jelasnya.

Segelintir kakitangan kerajaan skeptikal tentang langkah berpindah ke bandar hutan belum lengkap sepenuhnya yang terletak kira-kira 1,200 kilometer dari ibu kota sekarang.

Bagi Helena, 45, pula blok menara yang masih belum siap tetap memberikan keselesaan malah kemudahan yang ada lebih daripada mencukupi.

Sebuah kafe yang beroperasi di sebuah bangunan pangsapuri untuk penjawat awam. Foto AFP
Sebuah kafe yang beroperasi di sebuah bangunan pangsapuri untuk penjawat awam. Foto AFP

IKN kini dilengkapi tiga hospital, kedai kopi, jalan bertol ke bandar terdekat di Balikpapan dan lapangan terbang yang sedang menunggu kelulusan untuk operasi penerbangan komersial.

Pusat beli-belah dan panggung wayang yang dirancang bagaimanapun masih belum dibina.

Rangkaian kedai di IKN kini bergelut kerana jumlah ketibaan pelancong yang semakin berkurangan dan keadaan yang kian sepi.

“Ketika era Jokowi, ramai pekerja dan sentiasa ada kunjungan pelanggan. Hampir setiap hari kami sibuk. Kini, hasil pendapatan saya telah merosot kepada hampir 60 peratus.

“Tetapi, saya harus optimis dan berharap projek pembinaan ini akan diteruskan,” kata penjual snek, Abduh Rajab, 57. - AFP

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!