Checkmate buat Jokowi?

Banyak pandangan menyatakan Prabowo (kiri) masih berada di bawah bayang-bayang Jokowi. - Gambar hiasan
Banyak pandangan menyatakan Prabowo (kiri) masih berada di bawah bayang-bayang Jokowi. - Gambar hiasan
A
A
A

Presiden Prabowo Subianto menggunakan kuasa di tangannya untuk mengampunkan Thomas Trikasih Lembong (Tom Lembong) dan Hasto Krisyanto. Tom Lembong diberikan ‘abolusi’ sementara Hasto mendapat ‘amesti’. Keputusan itu disetujui Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia.

Tom Lembong didakwa Kejaksaan Agung (Pejabat Peguam Negara) ekoran tindakannya membenarkan import gula sewaktu beliau menjadi Menteri Perdagangan Indonesia pada 2015-2016.

Sewaktu perbicaraan, peguam beliau membuktikan bahawa tindakannya tidak menguntungkannya secara peribadi. Tidak ada juga sebarang bukti niat jahat, malah negara tidak dirugikan dan tidak ada mana-mana pihak dekat dengan beliau mendapat manfaat.

Tindakan beliau mengimport gula dikatakan mendapat restu Presiden Joko Widodo (Jokowi) sendiri ketika itu. Tambahan pula, bukan beliau sahaja berbuat demikian, semua menteri sebelum dan sesudahnya juga melakukannya akibat defisit gula di Indonesia.

Tapi beliau seorang didakwa dan menerima hukumannya. Beliau dijatuhi hukuman penjara empat tahun setengah.

Lebih parah lagi tindakan terhadap Tom Lembong dilakukan dua minggu selepas Prabowo menjadi Presiden pada Oktober tahun lalu. Salah seorang pemimpin Parti Gerindra, parti dipimpin Prabowo awal-awal lagi mengkhuatirkan bahawa persepsi rakyat adalah Tom Lembong dikenakan tindakan disebabkan beliau menjadi orang nombor dua dalam kempen Anies Baswedan sewaktu Pilihanraya Presiden (Pilpres) 2024.

Kes Setiausaha Agung (Sekjen) PDI-P, Hasto Kristiyanto juga bukan baharu. Kes ini membabitkan seorang bernama Harun Masiku. Hasto dituduh menyogok seorang pimpinan tinggi Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia bernama Wahyu Seytiawan. Apa yang meragukan adalah Hasto didakwa sebaik sahaja Jokowi, anaknya Gibran dan menantunya, Bobby Nasution disingkirkan keahlian mereka dari PDI-P.

Dalam kedua-dua kes ini terbukti masih kuatnya pengaruh Jokowi di pejabat Peguam Negara dan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK). Sesuatu amat dikesali banyak pihak. Rata-rata tanggapan umum adalah Jokowi melepaskan dendam pada kedua-dua tokoh itu. Maka itu apabila Prabowo menggunakan kuasa pengampunan di tangannya untuk membebaskan Tom Lembong dan Hasto, reaksi rakyat pada keseluruhannya amat positif.

Mantan calon Wakil Presiden (cawapres) dari PDI-P dalam Pilpres 2024 yang juga pernah menjadi Menteri Koordinator Bidang Politik dan Keamanan (Menko Polhukam), Mahfud MD mengalu-alukan tindakan Prabowo.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mendakwa tidak pernah memihak pada mana-mana individu terbabit dalam kes rasuah sebelum ini. Tapi dalam kes Tom Lembong dan Hasto, beliau merasakan bau politik kuat dalam pendakwaan kes ini. Kata beliau, ada kuasa politik di luar kebebasan hukum.

Beliau juga melihat kemelut hukum di luar nuansa politik. Keputusan hakim juga dipersoalkannya.

Apakah makna yang lebih besar daripada tindakan ini?

Terdapat banyak pandangan Presiden Prabowo Subianto masih berada di bawah bayang-bayang Presiden Ketujuh Republik Indonesia, Jokowi. Prabowo masih mengekalkan sebahagian besar menteri era Jokowi. Persepsi umum adalah beliau masih terhutang budi kepada Jokowi kerana memenangkannya dalam Pilpres 2024 amat tebal.

Malah, mantan presiden, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) pernah membayangkan ‘dua matahari’, maknanya terdapat dua presiden berkuasa pada masa ini. Hal ini disuarakan juga mantan Wakil Presiden, Yusuff Kala.

Mungkin ada benarnya Prabowo terpaksa ‘melayan’ kehendak Jokowi walaupun sudah meninggalkan kedudukannya, masih banyak bersuara dan membuat komentar. Lebih penting lagi ramai orang- orang Jokowi berada pada kedudukan strategik baik dalam tentera, polis, Jabatan Peguam Negara dan KPK.

Namun Prabowo tidak boleh diremehkan dalam mengatur strateginya. Memang beliau nampaknya masih menghormati Jokowi. Tetapi secara jelas beliau juga berusaha membebaskan diri dari rasa terima kasih itu. Banyak tindakan dilakukannya akhir-akhir ini menunjukkan beliau menumpang gelombang rasa tidak senang rakyat terhadap Jokowi.

Paling ketara, beliau tidak banyak menyentuh projek mega kesayangan Jokowi, Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara di Kalimantan. Keutamaan beliau menunaikan janji pilihan raya memberikan makan percuma berzat kepada kanak- kanak Indonesia walaupun kosnya tinggi.

Dalam beberapa tindakannya jelas menunjukkan beliau tidak lagi dibebankan dasar dan tindakan Jokowi. Beliau mengarahkan pihak tentera laut mencabut ‘pagar laut’ di Tangerang, Banten yang khabarnya didalangi oligarki yang dekat dengan Jokowi.

Beliau membenarkan pendedahan kes rasuah berskala besar membabitkan orang-orang yang dekat dengan Jokowi seperti Reza Chalid. Beliau juga membatalkan tindakan seorang menteri yang rapat dengan Jokowi dalam isu gas masak tiga liter. Prabowo juga tidak bersuara mempertahankan Jokowi apabila kontroversi ijazah palsunya meledak.

Lebih penting lagi, Prabowo mengambil tindakan tidak campur tangan apabila sejumlah mantan pimpinan tertinggi tentera (purnawirawan) mencadangkan Wakil Presiden, Gibran Rakabuming Raka dimakzulkan (impeachement). Beliau juga secara jelas meneruskan usaha mendekati Megawati Sukarnoputri (Ibu Mega), pemimpin tertinggi PDI-P selain Try Sutrisno, mantan Wakil Presiden yang juga mantan Ketua Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) pada era Orde Baru.

Try Sutrisno merestui gerakan pemakzulan Gibran. Malah apabila anak beliau sendiri, Leftenan Jeneral Kunto Arief Wibowo, seorang anggota tentera berpangkat tinggi dipindahkan ke jawatan lain tidak lama selepas forum purnawirawan itu, Prabowo masuk campur membatalkan keputusan tersebut.

Apakah abolisi (hak prerogatif dan kewenangan konstitusional Presiden)dan amnesti buat Tom Lembong dan Hasto ini tindakan strategik Prabowo memenangi hati musuh-musuhnya? Apakah Prabowo menggunakan strategi perang berkesan - dekati kawan tetapi dekatkan lagi musuh.

Sudah tentulah Anies dan Tom Lembong akan berasa terhutang budi pada Prabowo. Lebih penting Ibu Mega dan PDI-P menyambut tindakan ini dengan penuh kesyukuran. Apakah ini bermakna PDI-P sekarang tidak menyertai koalisi kerajaan Merah Putih Prabowo akan bersama-sama dalam kabinet selepas ini?

Apakah itu kelak akan mengakhiri check and balance dalam sistem politik Indonesia?

Dan lebih penting, apakah ini cara Prabowo checkmate Jokowi yang semakin hari semakin dijauhinya?

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis politik, kebudayaan dan kesusasteraan Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!