Jakarta terbakar: Cabaran terbesar Prabowo

Seorang pegawai polis memadamkan kebakaran yang dibuat oleh penunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat Polis Metro Bekasi di Bekasi, Jawa Barat, di tengah-tengah pertempuran yang dikaitkan dengan gelombang protes yang telah merebak di seluruh bandar utama. Foto AFP
Seorang pegawai polis memadamkan kebakaran yang dibuat oleh penunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat Polis Metro Bekasi di Bekasi, Jawa Barat, di tengah-tengah pertempuran yang dikaitkan dengan gelombang protes yang telah merebak di seluruh bandar utama. Foto AFP
A
A
A

AFFAN Kurniawan, 21, terbunuh akibat dilanggar dan digilis oleh kenderaan Baraccuda milik pasukan khas bermotor polis (Brimob) Indonesia di kawasan Pejompongan, Jakarta Pusat. Beliau seorang pengemudi ojek yang sedang membawa makanan apabila kejadian itu berlaku.

Kematiannya menggemparkan Indonesia. Api kemarahan rakyat memuncak. Perjalanan jenazah dari rumah sewa kecil di Jalan Lasem, Menteng, Jakarta Selatan ke tempat pengebumian di Tanah Perkuburan Umum Karet Bivak diiringi oleh gelombang manusia berwarna hijau, teman-teman ojeknya.

Affan menjadi lambang kebangkitan rakyat terhadap pemerintah Indonesia. Sejak kematiannya pada malam Khamis 28 Ogos lalu, Jakarta dan banyak kota utama Indonesia menyaksikan demonstrasi paling besar dan ganas sejak tahun 1998.

Bagaimanakah demonstrasi ini bermula? Beberapa waktu lalu dalam satu perbincangan dengan Indonesia Corruption Watch (ICW), seorang anggota DPR dari parti Golkar, Zulfikar Arse Sadikin menyebutkan bahawa ‘legislator sulit mendapatkan duit halal’.

Mungkin maksud beliau tanpa terbabit dalam rasuah agak sukar hidup sebagai anggota DPR.

Anggota tentera Indonesia memuatkan kenderaan polis yang terbakar ke atas sebuah treler di Pejabat Pusat Peranginan Polis Jakarta Timur di Jakarta.
Anggota tentera Indonesia memuatkan kenderaan polis yang terbakar ke atas sebuah treler di Pejabat Pusat Peranginan Polis Jakarta Timur di Jakarta.

Rakyat kemudiannya mengetahui bahawa ada elaun rumah sebanyak Rp50 juta (RM13,000) sebulan, tidak termasuk gaji dan elaun serta kemudahan lain.

Setiap bulan seorang anggota DPR membawa pulang Rp100 juta (RM26,000). Pendapatan ini 38 kali lebih banyak dari pendapatan purata rakyat Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Ini membangkitkan keriuhan di media sosial. Rakyat terbanyak bertarung untuk memastikan ada makanan di atas meja, pengangguran yang berleluasa dan kes pembuangan kerja yang tiada hentinya.

Bersama-sama imej sebahagian anggotanya menari-nari dalam satu majlis di DPR, rakyat menganggap mereka tidak ada simpati atau empati. Maka itu ada desakan agar dibubarkan sahaja DPR.

Hal ini mendapat reaksi keras dari Ahmad Sahroni dari parti Nasdem, yang ketika itu adalah Naib Ketua Komisi III DPR. Beliau mengatakan mereka yang mencadangkan pembubaran itu adalah manusia ‘tertolol di dunia’.

Beberapa orang anggota DPR dari kalangan artis juga membuat komentar mencemuh cadangan itu atau menunjukkan gaya hidup mewah mereka antaranya Eko Patrio, Nafa Urbach dan Uya Kuya.

Adalah amat disayangi Presiden Prabowo harus menghadapi semua ini. Sehingga banyak pihak belum bersedia untuk menyalahkan Prabowo sekalipun beliau sudah berada di tampuk pemerintahan sejak Oktober tahun lalu. Banyak kesalahan masih dibebankan pada mantan Presiden Jokowi.

Elemen Jokowi

Bagaimanapun banyak petanda awal yang sepatutnya diberikan perhatian serius oleh Prabowo. Pelantikan semula 17 orang dari Kabinet Jokowi boleh difahami untuk tujuan kesinambungan pemerintahan.

Masyarakat bagaimanapun melihat sebahagian daripada mereka malah memberikan masalah kepada Prabowo melalui dasar dan tindakan mereka.

Bahlil Lahadia, penyokong tegar Jokowi menyebabkan kemarahan rakyat apabila menghalang penjualan tong gas tiga liter secara eceran. Prabowo harus campur tangan.

Kementerian Kewangan mahu melaksanakan cukai yang dikenal sebagai Pajak Pertambahan Nilai (PPN), sekali lagi Prabowo membatalkannya pada saat akhir. ‘Pagar laut’ sepanjang 30 kilometer menjadi isu besar tetapi sehingga kini tidak ada sesiapapun yang dibawa ke pengadilan.

Seorang menteri lain, Fadli Zon mengundang kontroversi apabila beliau menafikan berlakunya kes-kes pencabulan dan rogol ke atas wanita Cina sewaktu rusuhan tahun 1998.

Lebih menonjol lagi kes seorang penyokong tegar Jokowi, Silfester Matutina yang sudah dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah, masih bebas selepas enam tahun! Apakah demikian kebal beliau hingga pihak Peguam Negara tidak boleh menangkap dan memenjarakannya?

Baru-baru ini rakyat juga menanyakan apakah justifikasi Bahlil dan Fadli yang dianugerahkan Bintang Mahaputera Utama oleh Prabowo. Demikian juga penganugerahan kepada beberapa orang menteri lain yang belum setahun berada pada kedudukan mereka.

Rakyat juga kecewa bahawa Prabowo melalui wakilnya mempersoalkan hal ‘sekecil’ ijazah Jokowi yang menjadi perbahasan hangat rakyat. Bagi banyak orang dakwaan isu ijazah palsu Jokowi itu adalah tentang integriti seorang pemimpin negara.

Apa yang berlaku sekarang adalah wake-up call bagi Prabowo. Waktu bulan madunya sudah berakhir. Terdapat tuntutan untuk Prabowo membersihkan kabinetnya dari ‘elemen Jokowi’.

Tidak kurang lantangnya gesaan agar Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo disingkirkan. Beliau dikatakan loyalis Jokowi dan telah gagal menangani isu rusuhan di Jakarta dan bandar-bandar utama Indonesia.

Secara jujur Prabowo memang kelihatan mulai menjauhkan diri daripada Jokowi. Beliau megambil sikap mendiamkan diri apabila terdapat desakan agar Timbalan Presiden, Gibran Rakabuming Raka dimazulkan. Beliau juga tidak ghairah untuk menyiapkan projek Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara.

Sebaliknya peruntukan besar diberikan untuk membiayai projek Makan Bergizi Gratis untuk anak-anak sekolah. Beliau juga mengecam Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Immanuel Ebenezer yang sekarang dituduh rasuah.

Pada hari Ahad, Prabowo muncul bersama-sama semua pemimpin parti-parti utama Indonesia termasuk Megawati Sukarnoputri, pemimpin PDI-P, parti yang tidak bergabung dalam koalisi pemerintahannya.

Mereka menjanjikan perubahan sikap dan lebih mendengar suara rakyat. Mereka juga akan bertindak ke atas mana-mana wakil mereka di DPR yang menyimpang dari aspirasi rakyat.

Apakah itu akan meredakan kemarahan rakyat?

*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang kebudayaan, kesusasteraan dan politik Indonesia.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!