'Anjing liar meluru, anak saya tercampak dari motosikal'

Mohd Suhaimi bersama anaknya, Mohammad Ayaaz Sabeer yang cedera apabila motosikal ditunggang berlanggar dengan anjing yang meluru dalam kejadian pada Rabu.
Mohd Suhaimi bersama anaknya, Mohammad Ayaaz Sabeer yang cedera apabila motosikal ditunggang berlanggar dengan anjing yang meluru dalam kejadian pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – “Anjing liar itu meluru ke arah motosikal saya dan ketika cuba mengelak, motosikal terbabas lalu anak tercampak ke atas jalan."

Demikian kata Mohd Suhaimi Mohd Zain, 38, bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki yang cedera parah dalam kejadian di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja berdekatan Kampung Penarik, Setiu pada Rabu.

Menurutnya, insiden berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mereka dalam perjalanan ke Pasti Al-Syifa.

"Anak saya, Mohammad Ayaaz Sabeer, 5, yang duduk di bahagian hadapan motosikal tercampak ke atas jalan sebelum berlaku pelanggaran dengan anjing liar tersebut.

"Sekarang dia dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas mengalami beberapa kecederaan serius di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Suhaimi yang juga kakitangan Pejabat Daerah Setiu berkata, doktor pakar memaklumkan pembedahan perlu dilakukan terhadap anak ketiganya itu.

"Anak saya alami luka sepanjang dua inci di bahagian kepala antaranya kecederaan pada kening dan dahi.

"Pakar mata, pakar gigi dan pakar kulit sudah buat pemeriksaan manakala imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati ada sedikit keretakan pada tulang pipinya," katanya.

Tambah Suhaimi, beliau berharap pihak Majlis Daerah Setiu dapat mengambil tindakan segera memandangkan isu anjing liar di kawasan Penarik semakin membimbangkan penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikutkan masalah anjing liar di kawasan Setiu terutama di kawasan berdekatan pantai agak membimbangkan.

"Banyak anjing liar berkeliaran dan kita bimbang kalau ada berlaku kes-kes lebih serius melibatkan kematian, mujurlah saya hanya alami kecederaan pada tangan.

"Cuma anak saya alami kecederaan agak serius, bahagian pipi pun cedera, dahi dan kening mungkin perlu di jahit," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu dan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59

"Akibat insiden itu, motosikal ditunggang mangsa turut mengalami kerosakan pada bahagian hadapan," katanya.

Insiden berkenaan tular di media sosial selepas dimuat naik oleh Yang Dipertua Pas Setiu, Zul Bhari A Rahman pada Rabu.

Kejadian itu mengundang perhatian orang ramai yang turut meluahkan kebimbangan terhadap masalah anjing liar di kawasan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!