Lelaki cedera motosikal dilanggar anjing liar melintas

JEMPOL - Seorang lelaki cedera selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan akibat seekor anjing liar yang meluru melintas jalan di Jalan Kampung Orang Asli Batu Peti, Rompin.
Abdul Halim Keliwon, 41, berkata, kejadian pada Rabu itu berlaku ketika dia menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Londah, Gemas dari tempat kerja.
Menurutnya, haiwan terbabit secara tiba-tiba meluru laju ke arahnya dari seberang jalan.
“Kejadian itu berlaku sekitar jam 5.15 petang dan secara tiba-tiba seekor anjing melintas jalan lalu terkena tayar depan motosikal saya.
“Akibatnya saya terjatuh dan mujurlah ketika kejadian tiada kenderaan lain di belakang yang mungkin boleh melanggar saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujarnya, penduduk di kawasan itu yang prihatin telah membantu membawanya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jelas Abdul Halim, dia mengalami luka pada tangan, kaki dan muka serta diberi cuti sakit selama sembilan hari.
“Sebenarnya saya dah biasa dikejar anjing di kawasan terbabit dan biasanya berjaya mengelaknya, tapi inilah kali pertama saya terlibat dalam kemalangan disebabkan haiwan berkenaan.
“Saya perhatikan memang banyak anjing liar di situ, terutamanya pada waktu pagi dan petang,” katanya.
Sehubungan itu, bapa kepada tiga anak terbabit berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan lanjut berhubung kehadiran anjing liar di kawasan berkenaan sekali gus mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir turut menggesa pihak berwajib agar mengambil tindakan segera demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

