Pengawal keselamatan direman empat hari cederakan ibu

BUTTERWORTH - Seorang pengawal keselamatan direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes mencederakan ibu kandungnya dalam kejadian di sebuah flat di Mak Mandin, di sini pada Ahad.
Perintah reman dikeluarkan Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal terhadap suspek berusia 47 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap tiba di pekarangan Mahkamah Butterworth kira-kira jam 11.20 pagi dengan diiringi polis.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari, mangsa berusia 72 tahun dikatakan baru sahaja pulang ke rumah selepas mengikuti kelas agama di masjid berhampiran.
Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, suspek yang juga anak kedua mangsa tiba-tiba menghalau ibunya keluar sebelum menyerang warga emas itu.
Difahamkan, suspek bertindak agresif dengan cuba mencungkil mata ibunya dan menyerang mangsa menggunakan objek tajam.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan.
Mangsa yang berjaya diselamatkan oleh jiran dikejarkan ke hospital untuk rawatan, dan difahamkan terpaksa menerima jahitan pada bahagian muka.
Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di kediaman sama dan mendapati dia positif dadah.
Turut difahamkan, suspek yang masih bujang itu baru sahaja dibebaskan daripada pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

