Pemandu lori simen gilis warden penjara direman empat hari

MELAKA - Pemandu lori simen yang terbabit kemalangan maut mengorbankan warden penjara di Lebuh SPA Sungai Udang direman empat hari bermula Jumaat.
Perintah reman hingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, N Sivashangari.
Dalam kejadian Khamis, mangsa, Amal Nurlidar Ghazali, 42, menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz yang berhenti di persimpangan lampu isyarat maut selepas digilis lori simen dipandu suspek.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kegagalan brek lori simen berkenaan.
Susulan itu suspek berusia 49 tahun telah ditahan dan ujian air kencing terhadap pemandu mendapati keputusan negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

