Cubaan seludup gagal, PGA rampas dua ekor lembu sado

TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu sado yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di Jalan Kebakat, di sini pada Ahad.
Tangkapan jam 5 petang itu dilakukan semasa penugasan Op Taring Wawasan selepas menahan sebuah pacuan empat roda yang menarik treler kuda dalam keadaan mencurigakan oleh seorang lelaki.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan di dalam treler kuda itu mendapati dua ekor lembu sado berada di belakang kenderaan terbabit.
"Pemandu yang berusia 60 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan pemindahan lembu tersebut untuk rujukan Jabatan Veterinar.
"Lembu ini disyaki diseludup masuk dari Thailand dan lelaki tersebut mengambil upah sebagai penghantar ke pasaran tempatan," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM66,000 termasuk kenderaan.
Ujarnya, kes diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


