Waliz terokai makanan berpantang

KUALA PILAH - Bermula secara kecil-kecilan dengan menghasilkan jamu selepas melahirkan anak kedua, Lizawati Raflis, 39, tekad mengorak langkah meluaskan lagi perniagaannya di bawah jenama Waliz.
Mengusahakan produk makanan pantang sejak 2015, ibu kepada empat cahaya mata ini kini giat memasarkan tujuh produk utama menggunakan platform TikTok.
Produk tersebut ialah Pegaga Crispy, Peria Crispy, Bawang Putih Crispy, Bawang Goreng Crispy, Serunding Halia, Ikan Bilis Black Pepper dan Cukbi Bilis Crunchy.

Mengimbas kembali permulaan perniagaannya, Lizawati pernah bekerja sebagai guru Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) selama enam tahun sebelum mengambil keputusan berhenti dan memberi fokus kepada perniagaan selepas kelahiran anak kedua.
“Saya mula dengan jamu, emak yang buat. Saya amalkan sendiri dan kongsi di Facebook. Bila kawan di Johor cuba dan beri maklum balas positif, barulah saya yakin nak jual.
“Setahun selepas itu saya terfikir pula bagaimana nak mudahkan ibu berpantang makan ulam seperti pegaga yang pahit. Daripada situ, saya cuba jadikan ia dalam bentuk crispy,” kongsinya kepada Sinar Harian.
Menurut Lizawati, proses mencipta resipi pertama iaitu Pegaga Crispy mengambil masa dua bulan sebelum berjaya menghasilkan pegaga yang benar-benar rangup dan tahan sehingga empat bulan tanpa menjejaskan rasa asalnya.
“Pada mulanya kami hanya guna satu jenis tepung tapi hasilnya tak seperti diharapkan. Kemudian, kami cuba campuran tiga jenis tepung bagi mendapatkan kerangupan diingini.
“Saya beri kakitangan untuk rasa, buat pembungkusan, biarkan tiga bulan dan hasilnya masih rangup, barulah kami berani jual selepas itu,” katanya yang aktif membuat siaran langsung mempromosikan produknya di TikTok setiap hari.

Tambahnya, selain fokus makanan pantang, produk seperti Cukbi Bilis Crunchy dan Sambal Pucuk Ubi Ikan Bilis turut dikeluarkan bagi memberikan variasi pilihan.
Jual produk di butik bayi
Jelasnya, selain pemasaran secara dalam talian, produk syarikatnya kini turut dipasarkan melalui lima cawangan butik Ibu Manja sejak awal tahun ini.
“Alhamdulillah, produk kami dapat banyak sambutan. Kami dah beberapa kali buat penghantaran dan kini sedang proses hantar ke cawangan lain pula.
“Untuk jangka masa panjang, saya rancang nak kembangkan lagi pengedaran produk di kedai jualan keperluan ibu dan bayi yang sememangnya sebahagian keperluan selepas wanita bersalin,” katanya.
Tambah Lizawati, dahulu dia memasarkan produk melalui khidmat ejen hampir di seluruh Malaysia.
“Sekarang ramai pengguna lebih suka beli online, jadi kami mantapkan lagi jualan TikTok dan edar ke butik bayi. Kami tak buka kepada ejen lagi,” katanya yang mampu meraih jualan RM50,000 sebulan.
Menurut Lizawati yang berasal dari Segamat, Johor dan kini menetap di Kuala Pilah, dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian bernilai RM20,000 berupa peralatan perniagaan, selain bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Untuk tambah ilmu, saya ikuti pelbagai kursus dan kelas keusahawanan,” katanya yang turut dibantu enam kakitangan bagi menguruskan perniagaannya di Juasseh Sentosa di sini.
Berkongsi cabaran sepanjang 10 tahun menceburi dunia perniagaan, Lizawati mengakui berdepan masalah kekurangan bahan mentah apabila permintaan meningkat dan turut terkesan kenaikan harga barangan di pasaran.
Pun begitu, wanita gigih itu menasihatkan usahawan baharu agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus mencuba dengan tekun bagi meraih kejayaan.
Setahun selepas itu saya terfikir pula bagaimana nak mudahkan ibu berpantang makan ulam seperti pegaga yang pahit.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

