Filem luar dan cabaran moral masyarakat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, filem-filem dari seberang semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton Malaysia, terutamanya apabila ia mengetengahkan tema berani seperti perselingkuhan, cinta terlarang dan konflik rumah tangga yang tragis.

Fenomena ini dilihat sebagai satu bentuk perkembangan industri seni yang cuba menyentuh sisi realiti masyarakat, namun dalam masa yang sama, turut mengundang pelbagai persoalan tentang kesesuaiannya ditonton di negara ini, apatah lagi apabila ia melibatkan kandungan yang agak sensitif dan tidak sesuai untuk semua lapisan umur.

Pengarah filem dan penerbit sering kali berhujah bahawa karya mereka hanyalah cerminan kepada realiti yang berlaku dalam masyarakat. Maka, penonton diingatkan supaya melihat dari sudut pengajaran yang ingin disampaikan.

Namun demikian, pendekatan ini boleh menjadi pisau bermata dua.

Apa yang dikatakan sebagai pengajaran itu kadangkala tenggelam dalam unsur dramatik dan visual yang berlebihan, sehingga memberi impak negatif kepada penonton, terutamanya remaja yang masih dalam proses pembentukan identiti dan nilai moral.

Tambahan pula, apabila filem-filem ini ditayangkan di platform digital atau televisyen tanpa tapisan yang ketat, risiko ia ditonton oleh golongan bawah umur semakin tinggi.

Banyak teaser dalam media sosial yang membuatkan anak muda dan remaja tertarik mencari filem-filem seperti ini.

Cabaran lebih besar wujud apabila karya luar dapat diakses secara bebas, tanpa melalui saringan atau penapisan yang sewajarnya.

Ini sekali gus membuka ruang kepada kandungan yang mengandungi adegan tidak senonoh, bahasa kasar dan paparan seksual yang tidak sesuai untuk tontonan umum.

Artikel Berkaitan:

Kesan jangka panjangnya bukan sahaja boleh mempengaruhi pemikiran remaja, malah boleh mengubah norma budaya masyarakat secara halus.

Dalam konteks pembinaan masyarakat yang seimbang dari sudut akhlak dan moral, penularan kandungan sebegini boleh menggugat nilai-nilai yang sedia ada.

Malah, ia seakan membuka jalan kepada normalisasi terhadap perkara yang bertentangan dengan ajaran agama dan adat ketimuran.

Walaupun ada yang mengatakan ia sekadar hiburan dan terpulang kepada penonton untuk menilai sendiri, realitinya tidak semua penonton mempunyai keupayaan untuk menapis atau membezakan antara fiksyen dan kehidupan sebenar, lebih-lebih lagi apabila ia disajikan secara berulang-ulang.

Lebih membimbangkan, dalam pada masyarakat semakin terbuka dengan kandungan sebegini, muncul pula ancaman baru dalam bentuk bahan bacaan lucah yang beredar secara bebas di internet.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, lambakan novel lucah yang boleh diakses secara percuma tanpa sekatan merupakan satu bentuk ancaman moral yang serius.

Beliau menyamakan ancaman novel erotik ini dengan bahan lucah konvensional seperti video atau gambar, kerana kedua-duanya boleh mencetuskan ketagihan dan memberi kesan buruk terhadap perkembangan minda remaja.

Malangnya, tiada mekanisme pengawasan yang benar-benar berkesan bagi menyekat akses kepada laman-laman sebegini.

Oleh itu, adalah penting untuk semua pihak termasuk kerajaan, penggiat seni, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menangani isu ini.

Penapisan yang lebih ketat, pendidikan media yang menyeluruh serta penekanan terhadap nilai moral dan agama perlu diperkukuh dalam setiap lapisan masyarakat.

Filem dan karya seni sepatutnya menjadi medium untuk mendidik dan menyedarkan, bukan sekadar mengejar keuntungan atau mencetuskan kontroversi demi menarik perhatian penonton.

Jika dibiarkan tanpa kawalan, budaya hiburan yang melampaui batas ini boleh menjadi racun senyap yang merosakkan akhlak generasi akan datang.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!