Anak Felda pulihkan kebun salak madu, jana hasil lumayan

Huzaifah menunjukkan salak madu yang diusahakan di kebun miliknya di Felda Bukit Sagu Tiga, Kuantan. Foto: Sinar Harian
Huzaifah menunjukkan salak madu yang diusahakan di kebun miliknya di Felda Bukit Sagu Tiga, Kuantan. Foto: Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN – Usaha seorang anak muda dari Felda Bukit Sagu Tiga memulihkan kebun salak madu peninggalan keluarga akhirnya berbaloi apabila tanaman itu kembali subur sekali gus memberi hasil lumayan kepadanya.

Huzaifah Ishak, 34, berkata, beliau tekad mengambil alih kebun seluas hampir dua hektar selepas kematian bapanya pada 2011, sebelum memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang pertanian tersebut sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, kebun itu pernah terjejas akibat penggunaan baja kimia secara berpanjangan sehingga menjejaskan kesuburan tanah dan menyebabkan hasil buah semakin berkurangan.

“Selepas saya ambil alih kerana tidak mahu usaha arwah ayah dibiarkan begitu sahaja, saya cuba pulihkan semula menggunakan baja organik walaupun kosnya lebih tinggi.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan usaha, sekarang pokok salak madu di kebun saya semakin sihat serta kembali berbuah,” katanya ketika ditemui di ladang salaknya di Felda Bukit Sagu Tiga, di sini pada Ahad.

Bapa kepada dua anak itu berkata, lebih 2,000 pokok salak madu kini mengeluarkan hasil secara konsisten dengan kutipan antara 100 hingga 200 kilogram setiap tiga hari.

Jelasnya, hasil yang diperoleh mampu memberi pendapatan lumayan setiap bulan dan jumlah pengeluaran dijangka meningkat selepas semua pokok pulih sepenuhnya.

“Bagi harga kebun, saya jual RM10 sekilogram, harga borong pula RM7 manakala di pasaran boleh mencecah hingga RM12.

“Permintaan juga stabil, pelanggan bukan sahaja dari Pahang, malah turut datang dari Terengganu dan Kuala Lumpur,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Huzaifah mengakui tidak terlepas daripada pelbagai cabaran termasuk gangguan haiwan seperti beruk, babi hutan, musang, tupai dan tebuan yang menjejaskan hasil tanaman.

“Saya cari modal pasang pagar elektrik menggunakan wang simpanan sendiri,” katanya.

Tambahnya, meskipun dibantu dua pekerja, beliau tetap turun padang kerana sudah terbiasa sejak kecil mengikut arwah bapanya ke kebun.

Selain menumpukan kepada jualan buah segar, Huzaifah juga mula menghasilkan jeruk salak tanpa pengawet sebagai usaha menambah nilai serta mempelbagaikan produk.

“Setakat ini jeruk salak hanya tahan dua hingga tiga hari sahaja. Insya-Allah saya akan cari kaedah lebih baik supaya produk hiliran ini boleh dipasarkan lebih meluas,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Huzaifah turut bercadang menanam jambu madu di sebahagian kawasan kebun sebagai tanaman tambahan bermula tahun depan.

“Impian saya adalah menjadikan salak madu Bukit Sagu lebih dikenali, bukan sahaja di negeri ini tetapi juga di seluruh negara.

“Saya percaya anak muda boleh berjaya jika berani terjun ke dalam bidang pertanian,” jelasnya yang turut menanam durian dan dokong di kawasan kebun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!