Peneroka Felda Bukit Tajau tuntut pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan

Antara luahan peneroka yang merayu dapat meraih pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan.
Antara luahan peneroka yang merayu dapat meraih pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan.
A
A
A

MARAN - Seramai 198 peneroka di Felda Bukit Tajau di sini meluahkan rasa kecewa apabila hanya mampu memperoleh pendapatan bersih sekitar RM1,200 hingga RM1,400 sebulan, meskipun ladang mereka diuruskan sepenuhnya oleh pihak Felda sendiri.

Rata-rata peneroka mendakwa jumlah itu tidak setimpal dengan keluasan tanah masing-masing yang mencecah 3.2 hektar seorang, selain hasil sawit yang dikatakan stabil sejak kebelakangan ini.

Situasi itu menyebabkan peneroka terlibat merayu dan mendesak agar mereka mampu meraih pendapatan bersih sekurang-kurangnya melebihi RM2,000 sebulan.

Sulaiman Abas, 67, berkata, mereka telah memberi kepercayaan penuh kepada Felda untuk menguruskan ladang sejak beberapa tahun lalu bagi tanaman semula kelapa sawit, namun pulangan yang diterima tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup masa kini.

"Kami bukan minta mewah, tapi biarlah berpatutan dengan usaha dan nilai semasa sawit. Bila tengok penyata, potongan terlalu banyak dan akhirnya kami yang menanggung," katanya.

Beliau ditemui selepas perjumpaan khas bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Bukit Tajau, peneroka dan pengurusan Felda di sini pada Khamis.

Tambah beliau, peluang menyertai rancangan itu pada tahun 1981 sangat dihargai dan beliau berharap mereka yang bersama Felda mendapat pembelaan sewajarnya.

Pertemuan khas JPKK Felda Bukit Tajau bersama peneroka dan pengurusan Felda pada Khamis.
Pertemuan khas JPKK Felda Bukit Tajau bersama peneroka dan pengurusan Felda pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Paling tinggi saya pernah dapat RM1,500 sepanjang tempoh tanam semula di bawah pihak Felda. Saya melihat kekurangan pendapatan itu kerana hasil pengeluaran dan pengurusan ladang tidak dimanfaatkan sebaik mungkin," dakwanya lagi.

Bagi generasi kedua seperti Nurijah Abu Bakar, 57, peningkatan pendapatan bersih setiap bulan sangat diperlukan memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat.

"Bukan nak membelakangkan Felda, tapi mereka yang tidak di bawah pengurusan Felda, pendapatan mereka lebih baik berbanding kami," dakwanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Felda Bukit Tajau, Nor Azhar Abdul Kadir berkata, menerusi pertemuan tersebut, pihak pengurusan telah menjanjikan hasil pendapatan bagi bulan April akan meningkat berbanding sebelum ini.

"Kita akan lihat jumlah pendapatan yang akan dikeluarkan tidak lama lagi dan berharap janji ini dilaksanakan kerana sudah lama mereka ini meraih pendapatan bersih bawah RM2,000 walaupun beberapa kali perbincangan telah diadakan.

"Kami juga berharap kerajaan negeri bersama pihak Felda dapat mencari jalan untuk menyelesaikan isu ini sebaik mungkin," katanya.

Jelasnya, rancangan itu memiliki 344 peneroka dan 304 terlibat dalam penanaman semula dengan 198 memilih di bawah pengurusan Felda manakala selebihnya menguruskan ladang mereka sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!