Jenayah seksual bawah umur kian parah

Isu jenayah seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur kini berada pada tahap membimbangkan kerana trend kes yang dilaporkan saban tahun menunjukkan peningkatan.
Isu jenayah seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur kini berada pada tahap membimbangkan kerana trend kes yang dilaporkan saban tahun menunjukkan peningkatan.
A
A
A

ISU jenayah seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur kini berada pada tahap membimbangkan kerana trend kes yang dilaporkan saban tahun menunjukkan peningkatan meskipun pelbagai usaha pencegahan telah dilakukan.

Berdasarkan rekod, berlaku lonjakan kes daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada 2024, peningkatan 53.2 peratus. Jumlah mangsa juga meningkat daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang, iaitu peningkatan 55.7 peratus dalam tempoh sama.

Lebih mengejutkan, majoriti pelaku merupakan individu terdekat termasuk ahli keluarga, jiran atau kenalan rapat yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan insiden seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Kedah yang diperkosa bapa tirinya sejak dua tahun lalu sebelum perbuatan itu terbongkar apabila mangsa hamil.

Kes seperti ini memperlihatkan bahawa perlakuan jenayah seksual bukan sahaja menghancurkan masa depan kanak-kanak, malah meragut hak mereka untuk membesar dalam persekitaran selamat.

Menurut pakar, peningkatan kes turut dipengaruhi akses mudah terhadap bahan lucah di internet, selain ketagihan seks yang tidak terkawal.

Sementara itu, kegagalan masyarakat untuk melaporkan kes juga menjadi penyumbang utama kerana kebanyakan mangsa dipaksa berdiam diri atas faktor malu atau ugutan daripada pelaku.

Keadaan ini menjadikan angka sebenar dipercayai lebih tinggi berbanding statistik rasmi.

Dalam mencari penyelesaian, kerajaan bersama pihak berkepentingan wajar memperketatkan undang-undang termasuk menambah hukuman lebih berat kepada pesalah jenayah seksual kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Pendidikan seks yang bersesuaian mengikut umur juga harus diperkenalkan di sekolah bagi memberi kefahaman awal tentang perlindungan diri. Pada masa sama, masyarakat tidak boleh bersikap lepas tangan, sebaliknya berani melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan.

Jenayah seksual bawah umur bukan isu individu semata-mata, sebaliknya ancaman sosial yang boleh meruntuhkan generasi. Jika tiada tindakan serius, negara bakal berdepan dengan krisis moral yang lebih parah.

Justeru, usaha membanteras jenayah ini perlu menjadi agenda bersama melibatkan kerajaan, agensi penguat kuasa, institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat demi memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan selamat serta bebas daripada ancaman pemangsa.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!