Mangsa rogol bawah umur di India diserang semula

MADHYA PRADESH - Seorang mangsa rogol berusia 15 tahun dari daerah Panna didakwa telah dihantar oleh Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak (CWC) tempatan ke rumah suspek yang mana dia kemudiannya menjadi mangsa serangan seksual berulang.
Polis Chhatarpur telah mendaftarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) terhadap 10 individu termasuk pengerusi, ahli-ahli CWC dan pegawai kanan atas peranan mereka dalam kes ini.
Kes bermula pada 16 Januari 2025, apabila mangsa yang tinggal di sebuah kampung di daerah Panna hilang selepas keluar ke sekolah.
Susulan itu, keluarganya memfailkan laporan orang hilang di balai polis tempatan.
Dia kemudiannya telah dikesan dan ditemui di Gurugram, Haryana pada 17 Februari 2025 bersama suspek, seorang lelaki dari kampung dan kasta yang berbeza.
Suspek ditahan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) didakwa atas penculikan dan rogol dan dihantar ke penjara.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Panna CWC untuk rehabilitasi dan yang mana pada mulanya ditempatkan di Pusat Sehenti (OSC) di Panna.
Namun, jawatankuasa itu didakwa telah memintas prosedur wajib dan menghantarnya ke rumah kakak ipar suspek yang juga sepupu mangsa.
Selepas dibebaskan, suspek didakwa merogol mangsa sekali lagi dan kemudiannya telah ditangkap semula.
Penyiasat mendapati CWC tidak mendapatkan laporan siasatan sosial dari Jabatan Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak untuk menilai keselamatan penempatan ini, suatu langkah kritikal yang diperlukan di bawah Akta Keadilan Juvana untuk memastikan kepentingan terbaik serta perlindungan kanak-kanak daripada bahaya.
Untuk menyembunyikan kesilapan itu, para pegawai dilaporkan telah memindahkan mangsa kembali ke OSC pada 29 April 2025.
Hanya semasa sesi kaunseling di sana, perbuatan seksual tambahan terhadap mangsa terbongkar.
Skandal berkenaan mendorong tindakan daripada pihak polis di bawah pengawasan Penolong Penguasa Polis Chhatarpur, SDOP Lavkushnagar Naveen Dubey yang mengetuai siasatan membongkar rangkaian komplot terbabit.
"Satu jenayah telah didaftarkan terhadap mereka yang membuat keputusan salah menghantar mangsa rogol bawah umur ke rumah suspek dan mereka yang menyembunyikannya.
"Polis sedang menyiasat perkara ini dengan teliti. Siasatan juga mendedahkan bahawa Pegawai Program Daerah dan kakitangan Pusat Sehenti cuba menyembunyikan kes tersebut," kata Dubey.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

