Perjanjian kemerdekaan tidak boleh sewenang-wenangnya dipersoal - Sultan Nazrin

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa perjanjian yang telah dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
Baginda bertitah, perkara itu tidak sepatutnya dibiarkan hanya disebabkan semakin terhakis sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain serta dipengaruhi api perselisihan yang dinyalakan melalui retorik politik berasaskan kaum dan agama.
Jelas baginda, kemerdekaan tanah air diperoleh melalui rundingan dan diplomasi oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengikat persefahaman sehingga membangunkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang warganya terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa.
"Kesemuanya diberikan tempat dan jaminan perlindungan yang saksama sebagai warga dalam sebuah negara merdeka.
"Tidak ada yang terpinggir, tidak ada penyisihan dilakukan. Secara bijaksana, Yang Teramat Mulia Tuanku mengayam indah tradisi dalam modenisasi. Institusi Raja didaulatkan sebagai raja berpelembagaan dalam pemerintahan moden berteraskan demokrasi berparlimen," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda jam 9 malam itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Sultan Nazrin dalam titahnya turut menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, budaya dan agama di negara ini merupakan nikmat kurniaan Ilahi yang wajar dihargai, bukan dijadikan punca perpecahan.
"Sifat bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling memahami dan menghormati antara satu sama lain, di samping mengenali batas sempadan tidak mengusik perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya fitnah dan kebencian yang semakin menular, khususnya di media sosial hingga mengancam perpaduan masyarakat.
Baginda bertitah, setiap hari masyarakat disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersenda dan membadutkan pihak yang tidak bersefahaman sehingga membentuk budaya baharu yang bercanggah dengan adab seorang Muslim dan adat bangsa Melayu.
"Hati yang tidak dijaga dengan ketakwaan, menjadikan mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet, bebas melakujan apa sahaja.
"Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa musnahlah golongan yang melampau," titah baginda.
Jelas baginda, sikap keterlaluan dalam ucapan mahupun perbuatan boleh membawa kepada perpecahan kerana golongan yang miskin adab dan kedana adat, sanggup mengetepikan nas agama serta mengabaikan warisan budaya bangsa.
"Akibatnya, berlakulah kerosakan, nilai-nilai murni agama diberikan tafsiran songsang, adat dipinggirkan, menyebabkan fahaman dan pegangan ummah terutama dalam kalangan generasi muda terpesong dan songsang," titah baginda.
Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri kali ini membawa tema 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan' bertujuan mengangkat kembali sejarah kegemilangan tamadun ummah berteraskan ukhuwah dan penyatuan.
Dalam majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Keluarga Mithali) kepada ibu tunggal kepada enam cahaya mata, Umi Kalsom Bahak, 74, dari Bidor.
Turut disampaikan, Anugerah Tokoh Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) kepada Penyelia Mubaligh Islam Negeri Perak, Wan Masindra Juja, 44; Anugerah Badan Bukan Kerajaan (NGO) kepada Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Negeri Perak (ABIM) dan Anugerah Khas kepada seorang guru, Ismail Muhamad Zin, 44.
Anugerah Pegawai Masjid pula dianugerahkan kepada Rosli Mat, 61, (Tokoh Imam) Sirat Abdullah, 64, (Tokoh Bilal) dan Mat Yusoff Suliman, 72, (Tokoh Siak).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

