Sultan Nazrin sebak titip doa rakyat bersatu di akhir titah

IPOH - Suasana majlis Maulidur Rasul peringkat negeri Perak bertukar hening apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebak sewaktu menitipkan doa di penghujung titah baginda.
Dalam titah penutup itu, baginda memohon agar ALLAH SWT menyatukan hati rakyat, memperbaiki hubungan sesama umat serta menjauhkan negara daripada perpecahan, permusuhan dan kebencian.
"Ya ALLAH, satukanlah hati-hati kami, perbaikilah hubungan antara kami, selamatkanlah kami daripada kegelapan jahiliyah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus, kurniai kami taufik dan hidayah-Mu dan sinarilah jiwa kami dengan cahaya iman dan takwa.
"Jadikanlah kami umat yang bersatu, saling menyayangi, menghormati dan bekerjasama dalam kebaikan," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis, bertemakan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah.'
Dalam titahnya, baginda turut mengingatkan bahawa ukhuwah Islamiah bukan sekadar slogan, sebaliknya tanggungjawab bersama setiap umat Islam demi mengekalkan perpaduan dan keharmonian.
“Tanpa ikatan ukhuwah, Islam akan hilang kekuatan dan mudah dicerobohi oleh anasir luar yang bertujuan meruntuh dan memecahbelahkan ummah.
"Kembalilah kepada semangat ukhuwah dan persaudaraan yang sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda," titah Sultan Nazrin.
Turut berangkat dalam majlis tersebut, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

