Golongan kurang mampu masih mengeluh gagal tebus SARA - Rosol

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berharap kerajaan dapat segera menambah baik sistem MyKasih agar bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan.
Beliau berkata, sejak penebusan bantuan RM100 itu bermula pada 31 Ogos lalu, masih terdapat keluhan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan yang berdepan kesukaran apabila sistem tidak berjalan lancar.
Menurut Rosol, kelewatan dan masalah teknikal tersebut bukan sahaja menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penerima, malah turut memberi kesan kepada operasi pasar raya yang terpaksa berdepan situasi tidak menentu.
“Bantuan seperti SARA ini sepatutnya menjadi sokongan segera kepada rakyat, bukan menimbulkan masalah baharu.
“Saya berharap kerajaan dapat segera memperkukuh sistem, menilai semula vendor yang dilantik dan menyediakan pelan kontingensi supaya penerima tidak terus terbeban,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Rosol yang juga Ketua Portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kabinet Bayangan Perikatan Nasional (PN) berkata, rakyat hanya mahu hak mereka disalurkan dengan cekap, telus dan tanpa halangan teknikal.
“Kerajaan perlu lebih teliti dalam melaksanakan program bantuan kos sara hidup agar benar-benar sampai kepada sasaran dengan cepat dan berkesan,” ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) turut memberi jaminan bahawa penambahbaikan berterusan sedang dilaksanakan terhadap sistem tersebut.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, MyKasih telah meningkatkan kapasiti sistem berkenaan serta memperkukuh proses penyelesaian masalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
