Najib gagal prosiding hina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkaitan Titah Adendum.
Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas mendapati Najib, 72, selaku pemohon gagal membuktikan kes prima facie bagi kebenaran permohonan berkenaan.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan selaku responden, tidak mempunyai kewajipan untuk mengesahkan atau menafikan dakwaan kewujudan titah diraja tersebut.
“Permohonan kebenaran untuk mendapatkan perintah komital atau hina mahkamah dalam lampiran 130 dengan ini ditolak.
“Mahkamah berpendapat, kebenaran tidak sepatutnya diberikan kepada pemohon berdasarkan beberapa alasan,” kata Hakim.
Beliau berkata, kesan daripada prosiding komital ialah serius dan mahkamah akan berhati-hati supaya tidak bertindak hanya berdasarkan andaian.
Katanya, tanpa keterangan yang menunjukkan bahawa responden secara peribadi melakukan seperti yang didakwa dan mengambil kira peranan Jabatan Peguam Negara dalam permohonan kebenaran, dakwaan itu hanyalah spekulasi semata-mata.
Katanya, seseorang tidak boleh membuat kesimpulan bahawa terdapat arahan khusus untuk mengemukakan hujahan yang tidak benar, hanya berdasarkan pendirian pegawai responden dalam membantah permohonan kebenaran terbabit.
“Permohonan kebenaran ini hanya difailkan pada Mei lalu, hampir setahun selepas Jabatan Peguam Negara membangkitkan bantahan terhadap semakan kehakiman pemohon pada April 2024.
“Tempoh kelewatan yang ketara itu telah melemahkan permohonan kebenaran dan tidak mewajarkan remedi luar biasa dalam bentuk perintah komital,” katanya yang kemudiannya memerintahkan bekas ahli politik berkenaan membayar kos sebanyak RM20,000.
Dalam prosiding ini, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly sementara
Sementara itu, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, rayuan akan dikemukakan dalam masa terdekat.
Pada 21 Mei lalu, Najib memohon Ahmad Terrirudin dipenjara kerana mendakwa bekas Peguam Negara itu telah menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.
Najib menyatakan demikian dalam permohonan komital melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.
Menurut kenyataan firma tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menggesa Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan memberikan penjelasan sebelum dipertimbangkan untuk dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.
Firma guaman itu berkata, salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan diserahkan kepada Najib menerusi anaknya, Datuk Mohamad Nizar, turut disahkan ketulenannya oleh Majlis Kesultanan Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari lalu.
Kenyataan itu menambah, Titah Adendum berkenaan secara langsung ditujukan kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk melaksanakan kandungan titah tersebut.
Bagaimanapun, Najib mendakwa Ahmad Terrirudin ketika memegang jawatan berkenaan telah mengarahkan pegawainya supaya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan semakan kehakiman berhubung perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

