Cicit kongsi pengalaman moyang anggota polis berperang menentang komunis

SHAH ALAM - Dalam dunia moden hari ini, kisah perjuangan silam sering kali tenggelam di balik arus perubahan zaman.
Namun, bagi seorang remaja berusia 19 tahun, Muhamad Zulhaizi Mokhtar, kisah moyangnya yang kini berusia lebih 110 tahun menjadi warisan berharga yang bukan sahaja menghidupkan sejarah keluarga, malah menjadi peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Moyangnya yang dipanggil Atuk, Mat Nor Yusof atau nama sebenarnya Md Noor Yusuf, merupakan salah seorang anggota polis yang berkhidmat ketika zaman getir Tanah Melayu.
Beliau berasal dari Kampung Tupai, Sik, Kedah dan pernah menyaksikan pelbagai peristiwa besar yang mengubah wajah negara.
Menurut Muhamad Zulhaizi, antara kenangan paling mendalam yang tidak pernah dilupakan oleh Atuknya ialah ketika berperang menentang komunis.
“Atuk turut menjadi saksi kepada Rundingan Baling 1955, di mana Tunku Abdul Rahman (TAR) cuba mengajak pihak komunis untuk berdamai. Atuk juga pernah menyaksikan kesan Perang Dunia Kedua apabila bom atom dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki yang membawa kepada penyerahan kalah Jepun.
“Dulu keadaan sangat teruk. Atuk saya kata sampai nak tidur pun tak boleh lena. Kena sentiasa bersiap siaga sebab bila-bila masa saja boleh berlaku serangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujar Muhamad Zulhaizi, Atuk Mat Nor mula menyertai pasukan polis dengan menjalani latihan di Sik, Kedah, sebelum dihantar bertugas ke Sungai Buloh, Selangor selepas dua bulan.
Namun, pada satu ketika, satu laporan dibuat terhadap beliau atas dakwaan tidak menjaga kawasan yang ditugaskan sehingga berlaku peperangan kecil.
Walaupun berdepan cabaran dan tekanan, beliau tetap setia pada tugas dan negaranya.
Lebih penting daripada pengalaman silam, adalah pesanan yang ditinggalkan oleh wira ini untuk generasi kini.
“Jagalah Tanah Air kita yang dahulu diperjuangkan dengan darah, bukan wang.
“Jagalah sebagaimana mereka dahulu menjaga dan jangan sampai tanah air ini dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” pesan Atuk Mat Nor.
Walaupun usianya kini menjangkau lebih satu abad, semangat dan gaya hidup Atuk Mat Nor kekal sederhana serta berdisiplin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

