Pegawai, anggota polis ditahan bantu siasatan kehilangan barang di inap desa

KAJANG – Seorang pegawai serta beberapa anggota polis ditahan pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung kehilangan barangan di sebuah banglo tiga tingkat yang dijadikan inap desa di Kajang, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, laporan polis dibuat oleh seorang penghuni selepas mendapati keadaan biliknya berselerak dan barangan peribadi hilang.
“Semakan mendapati sebelum itu terdapat serbuan dijalankan pada 28 Ogos kira-kira jam 2 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung bunyi bising di premis berkenaan.
“Banglo yang dijadikan inap desa dan mempunyai beberapa bilik itu dipercayai didiami pelbagai individu. Maklumat orang awam juga menyatakan terdapat bunyi bising dari lokasi terbabit sebelum pasukan serbuan bertindak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Rabu.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari barangan bernilai ratusan ribu ringgit hilang selepas pulang ke inap desa berkenaan.
“Susulan laporan dibuat mangsa pada 29 Ogos, pihak polis kemudian menahan pegawai dan beberapa anggota yang terlibat dalam serbuan tersebut.
“Penahanan ini dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

