Dua lelaki Pakistan mengaku cabul budak perempuan di hentian bas, simpan gambar lucah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dalam kejadian Ogos lalu.

Uzman Khan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hentian bas di Taman Tuanku Ja’afar kira-kira jam 6.30 petang pada 24 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakan senegara Uzman, Abrar Tasib, 33, turut didakwa di hadapan Hakim Surita atas kesalahan memiliki imej pornografi mangsa sama di dalam telefon bimbitnya.

Abrar dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 10 akta yang sama.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu yang telah bekerja di Malaysia selama dua tahun telah melakukan kesalahan serius terhadap seorang kanak-kanak yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) intelek.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuannya, Uzman menyatakan bahawa dia amat kesal atas perbuatannya dan merayu agar diberi hukuman ringan kerana perlu bekerja dan menghantar wang untuk rawatan bapanya serta menyara pendidikan tiga adik-beradiknya yang masih kecil.

Sementara Abrar turut merayu hukuman dikurangkan kerana perlu menanggung isteri, dua anak serta adik-beradiknya di kampung.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh mengenali mangsa melalui aplikasi TikTok.

Polis menahan kedua-duanya selepas sekeping gambar menunjukkan tertuduh pertama mencium mangsa di hentian bas tular di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!