Insiden serangan Sultan Perak: Isyarat lompongnya SOP keselamatan VIP

Laporan Sinar Harian berhubung seorang wanita ditahan selepas cuba mendekati Sultan Nazrin di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak di Ipoh.
Laporan Sinar Harian berhubung seorang wanita ditahan selepas cuba mendekati Sultan Nazrin di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak di Ipoh.
A
A
A

DALAM kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada Ahad lalu, rakyat dikejutkan dengan insiden seorang wanita nekad naik ke pentas utama untuk mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika majlis peringkat negeri berlangsung di Ipoh.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi, apabila wanita berusia lingkungan 40-an yang berpakaian hitam berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberikan tabik hormat, sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.

Meskipun tidak memiliki senjata, wanita terbabit berjaya membolosi kawalan keselamatan di sekeliling pentas utama dan menyentuh Sultan Nazrin, membuatkan petugas terpinga-pinga seketika dengan insiden sepantas kilat itu.

Semakan polis mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri yang kini berada di bawah pengawasan pakar.

Insiden sebegini jarang berlaku di negara ini lebih-lebih melibatkan orang kenamaan dan kerabat diraja.

Namun, apabila sudah terjadi, timbul persoalan tentang bagaimana prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan bagi golongan VIP dipraktikkan.

Warganet meluahkan pandangan masing-masing di media sosial bahawa apabila seseorang dengan sengaja cuba menyentuh VIP meskipun ketika acara terbuka, ia menandakan tahap keselamatan benar-benar lemah.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berpendapat kekecohan yang berlaku itu bukan sekadar pelanggaran keselamatan fizikal semata-mata, malah turut membawa implikasi besar terhadap keberkesanan prosedur sedia ada.

Menurut beliau, kelompangan tersebut perlu ditangani secara serius meskipun tiada kecederaan atau kemudaratan berlaku selepas wanita terbabit menembusi kawalan keselamatan sehingga ke pentas utama.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Zaki mengemukakan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan, antaranya penilaian risiko awal bagi setiap acara terbuka melibatkan orang kenamaan terutama tetamu diraja.

Selain itu, katanya, penempatan anggota keselamatan secara strategik di semua sudut kritikal termasuk bahagian belakang dan sisi pentas.

Beliau juga mencadangkan supaya diadakan latihan simulasi berkala kepada anggota keselamatan untuk menghadapi situasi luar jangka sepertimana terjadi kepada Sultan Nazrin serta melaksanakan saringan awal pengunjung menggunakan kaedah moden.

Cadangan sebegini wajar diperhalusi di setiap peringkat, sama ada oleh polis mahupun pengawal peribadi VIP, demi mengelakkan kejadian lebih buruk pada masa akan datang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan bahawa wanita tersebut direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah.

Apa jua keadaan, diharapkan kejadian ini menjadi iktibar kepada semua anggota yang terlibat dalam mengawal keselamatan orang kenamaan agar segera menambah baik kualiti kerja serta prosedur sedia ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!