Kabinet arah KDN perketat keselamatan program libatkan Raja-Raja Melayu

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PUTRAJAYA – Kabinet mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertingkat aspek keselamatan, khususnya bagi program yang melibatkan Raja-Raja Melayu.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan insiden yang berlaku di Ipoh, Perak tidak berulang.

“KDN memaklumkan akan menyusuli dengan tindakan,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat kabinet di sini pada Rabu.

Ahad lalu, seorang wanita mencetuskan kekecohan apabila cuba memeluk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa perarakan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Dalam kejadian yang berlaku ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang, wanita berusia 41 tahun berpakaian serba hitam itu dilihat berdiri di belakang barisan kerabat diraja sebelum secara tiba-tiba meluru ke arah Sultan Nazrin dari belakang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi itu dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri yang kini berada di bawah pengawasan pakar.

Suspek direman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!