Buruh didakwa ceroboh rumah inap, intai usahawan wanita mandi

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dakwaan mengintai seorang usahawan wanita sedang mandi dan menceroboh sebuah rumah inap di Kampung Jeram, Manir di sini bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan wanita berusia 36 tahun itu kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah rumah inap di Kampung Jeram Manir, Kuala Terengganu pada 26 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Farhan didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan rumah inap berkenaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes termasuk lantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, Ahmad Farhan mengaku bersalah di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak atas satu pertuduhan berasingan iaitu memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya.
Kesalahan itu dilakukan pada 11 April 2016 kira-kira jam 12.15 tengah hari di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Bagi kesalahan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap serta pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Azlina Jaafar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
