Air Terjun Janda Mandi tarikan pelancongan baharu Terengganu

Razali (tengah) ketika meninjau lokasi Air Terjun Janda Mandi di Kemaman.
Razali (tengah) ketika meninjau lokasi Air Terjun Janda Mandi di Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN – Keindahan Air Terjun Janda Mandi di Bukit Kijal yang terkenal kerana airnya terus mengalir ke laut bakal dimajukan sebagai produk pelancongan baharu di Terengganu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, pembangunan itu akan dilaksanakan melalui konsep Community Based Tourism (CBT) dengan penglibatan aktif penduduk setempat.

"Air Terjun Janda Mandi ini cukup unik dan hanya ada satu di Malaysia. Insya-ALLAH, kita akan majukan tempat ini bersama komuniti tempatan supaya keindahan alamnya terus terpelihara," katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan air terjun tersebut, baru-baru ini.

Lokasi Air Terjun Janda Mandi yang menjadi tarikan baharu di Kemaman.
Lokasi Air Terjun Janda Mandi yang menjadi tarikan baharu di Kemaman.

Air terjun setinggi 80 hingga 90 meter itu terletak berhampiran Pantai Teluk Kalong dan boleh dikunjungi menggunakan dengan dua kaedah iaitu berjalan kaki merentasi trek bukit atau menaiki bot.

Menurut Razali, walaupun laluan sudah ditambah baik, pengunjung dinasihatkan menggunakan khidmat penunjuk arah daripada penduduk tempatan kerana trek agak licin dan berbahaya jika bersendirian.

Selain menawarkan panorama semula jadi yang memukau, lokasi ini turut menyimpan kisah legenda yang menjadi bualan turun-temurun.

"Nama Janda Mandi dikatakan berasal daripada cerita seorang wanita, isteri kepada seorang nakhoda yang ghaib secara misteri selepas turun mandi di air terjun ini.

Artikel Berkaitan:

"Malah ada nelayan mendakwa pernah terlihat kelibat wanita mandi di kawasan tersebut," katanya.

Razali yakin keunikan kisah misteri itu mampu menjadikan Air Terjun Janda Mandi sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja memukau mata, tetapi juga mencetus rasa ingin tahu.

"Pelancongan bukan hanya tentang pemandangan indah, tetapi cerita di sebaliknya. Dengan penglibatan komuniti, saya yakin Air Terjun Janda Mandi akan menjadi tarikan istimewa di Kijal," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!