China sokong percepat keanggotaan Malaysia dalam BRICS - PM

Anwar (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Jinping di Great Hall of the People di Beijing pada Selasa. Foto Bernama
Anwar (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Jinping di Great Hall of the People di Beijing pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Presiden China, Xi Jinping menyatakan sokongan penuh untuk menyegerakan keanggotaan penuh Malaysia dalam perkumpulan BRICS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan ini dizahirkan Jinping semasa pertemuan mereka di Great Hall of the People, di sini pada Selasa.

"Presiden Jinping menyatakan sokongan penuh beliau untuk menyegerakan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS.

"Ini satu penghormatan besar atas dukungan terhadap negara kita untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia,” kata Anwar kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja empat hari beliau ke China.

BRICS yang ditubuhkan pada 2009 kini dianggotai 11 negara termasuk Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan Mesir. Malaysia menjadi negara rakan blok itu pada awal 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat terhadap Jinping dan kedua-dua pemimpin itu membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dua hala.

Anwar berkata, pertemuan berkenaan mempererat ikatan yang terjalin sejak lawatan negara Jinping ke Malaysia pada April lepas, dengan sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian telah dimeterai.

"Saya nyatakan bahawa hubungan ini perlu diterjemah dengan pelaksanaan segera terhadap perkara yang telah dipersetujui.

"Hanya dengan tindakan pantas, hubungan istimewa ini dapat memberi impak yang lebih bermakna buat rakyat kedua-dua negara," kata Anwar.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, beliau amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Jinping serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.

"Alhamdulillah, saya dan Presiden Jinping senada untuk terus memperkukuh persahabatan ini berteraskan kepercayaan, hormat dan keikhlasan.

"Meskipun kita (Malaysia) sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur," kata Perdana Menteri.

Anwar turut menyatakan sokongan terhadap usul dan idea yang digagaskan oleh Jinping, khususnya Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang memperkukuh keterhubungan dunia serta Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) yang dicetuskan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) kali ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jinping atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak SCO yang berlangsung dengan penuh bersejarah.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala tahun lepas mencecah AS$106 bilion, mencerminkan keeratan hubungan ini.

"Saya nyatakan kepada Presiden Jinping akan komitmen Malaysia untuk memperkukuh eksport bernilai tinggi seperti E&E (elektrik dan elektronik), aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas," kata Anwar. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!