Lawatan Presiden China simbol keakraban – Anwar

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam bersama Presiden China Xi Jinping, yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu.
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam bersama Presiden China Xi Jinping, yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke negara ini bukan sahaja sebagai satu penghormatan besar malah sebagai kemuncak kepada hubungan erat dua negara Asia yang telah lama terjalin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan antara Malaysia dan China telah berkembang dalam semua bidang dan lawatan tersebut mencerminkan keyakinan serta penghormatan China terhadap peranan Malaysia di rantau ini.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan terbuka dan saling menghormati antara Malaysia dan China membolehkan kedua-dua negara berbincang secara matang walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam beberapa isu.

“Dalam hubungan antara dua negara sahabat, pasti ada perkara yang kita setuju dan ada juga yang dibincang dengan berhemah.

"Yang penting, semangat persahabatan dan persefahaman itu dikekalkan,"katanya ketika temu bual eksklusif program Agenda Awani Asia di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Temu bual tersebut merupakan kerjasama Astro Awani dan Kumpulan Media China (CMG) bersempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Anwar menegaskan, Malaysia kekal komited untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat dan China berdasarkan prinsip dagangan bebas dan pelaburan terbuka.

Tambahnya, eksport utama seperti semikonduktor ke Amerika Syarikat masih kukuh namun kerjasama ekonomi bersama China menunjukkan perkembangan lebih pesat, termasuk dalam pelaburan, perdagangan dan teknologi.

Selain bidang perdagangan dan pelaburan, Perdana Menteri turut melihat potensi besar dalam kerjasama baharu seperti pelancongan, kebudayaan, teknologi dan pembangunan industri.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peningkatan kedatangan pelancong China turut memberi manfaat kepada rakyat Malaysia melalui peluang pekerjaan dan pertumbuhan sektor perhotelan dan restoran.

“Dalam tempoh setahun lebih ini, kita menyaksikan peningkatan ketara dalam semua aspek hubungan Malaysia-China. Ini membuka peluang besar, terutama dalam bidang teknologi dan industri,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!