Bekas pengarah eksekutif gagal rayu kes dagangan orang dalam, diperintah bayar RM1.24 juta

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Back Heang bertanggungjawab atas kes dagangan orang dalam. Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Back Heang bertanggungjawab atas kes dagangan orang dalam. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati bekas Pengarah Eksekutif Patimas Computers Berhad, Datuk Ng Back Heang, bertanggungjawab atas kes dagangan orang dalam.

Panel tiga hakim, Datuk P Ravinthran, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Nadzarin Wok Nordin memutuskan demikian selepas sebulat suara menolak rayuan Back Heang, 71.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), mahkamah turut mengekalkan penghakiman yang memerintahkan Back Heang membayar RM1.24 juta.

Menurut SC, jumlah tersebut bersamaan tiga kali kerugian yang dielakkan oleh Back Heang akibat dagangan orang dalam.

Mahkamah turut mengenakan penalti sivil sebanyak RM700,000 dan melarang Back Heang daripada dilantik sebagai pengarah mana-mana syarikat awam tersenarai selama lima tahun bermula 17 November 2022.

Beliau juga diarahkan membayar kos RM30,000 kepada SC, sementara Mahkamah Tinggi sebelum ini memberikan SC kos tambahan sebanyak RM100,000.

Perlanggaran itu berlaku apabila Back Heang melupuskan 16.5 juta saham Patimas antara Mei dan Julai 2012 ketika memiliki maklumat material bukan awam berhubung pertanyaan audit serta transaksi mencurigakan syarikat dan penghutang utamanya.

Perkara itu telah dibangkitkan dan dibincangkan oleh juruaudit luar Patimas semasa mesyuarat dengan pihak pengurusan syarikat.

Pada 31 Julai 2012, Lembaga Pengarah Patimas mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu tidak dapat mengeluarkan Penyata Kewangan Tahunan Telah Diaudit bagi tempoh kewangan dari 1 Januari 2011 hingga 31 Mac 2012 disebabkan penemuan dan pertanyaan audit penting yang tidak dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Agensi itu diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SC, Mohd Hafiz Mohd Yusoff, Mageswary Karroppiah dan Eunice Ong Jo Xing, manakala Back Heang diwakili peguam, Datuk Jasbeer Singh.

Dalam pada itu, SC menegaskan bahawa dagangan orang dalam merupakan pelanggaran serius kerana menjejaskan integriti pasaran modal serta keyakinan pelabur, dan keputusan Mahkamah Rayuan ini membuktikan bahawa kesalahan tersebut tidak akan diberi toleransi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!