Pekerja muda cenderung tukar kerja baharu tahun hadapan - Aon

SHAH ALAM - Laporan Manfaat dan Kesejahteraan Pekerja Malaysia 2025 mendedahkan sebanyak 53 peratus pekerja berusia 30 hingga 32 tahun serta 40 peratus pekerja berusia bawah 29 tahun sedang mempertimbangkan pertukaran pekerjaan baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Laporan yang dikeluarkan oleh firma perkhidmatan profesional global terkemuka, Aon Plc (Aon) itu memberikan gambaran menyeluruh mengenai dinamik tempat kerja semasa melibatkan lebih 130 syarikat dan 507 pekerja, sekali gus menonjolkan perkembangan landskap faedah serta kesejahteraan pekerja di negara ini.
Dapatan tersebut turut mendapati 51 peratus pekerja yang telah berkhidmat antara tiga hingga lima tahun juga berhasrat menukar pekerjaan dalam setahun akan datang.
Kumpulan itu terdiri daripada pekerja yang terlibat dalam peranan pelaksanaan dan pengurus pertengahan, yang memiliki pengalaman serta pengetahuan institusi di mana pemergian mereka berpotensi menjejaskan kesinambungan serta produktiviti perniagaan.
Data laporan berkenaan turut mendedahkan dari segi membuat keputusan untuk memilih majikan di mana sebanyak 57 peratus pekerja menilai fleksibiliti kerja sebagai keutamaan manakala 50 peratus mengutamakan keseimbangan kerja-kehidupan dan peluang pembangunan serta pertumbuhan kerjaya.
Perunding Prinsipal Penyelesaian Kekayaan Aon Malaysia, Connie Chung berkata, meskipun kedua-dua majikan dan pekerja meletakkan faktor kesejahteraan sebagai keutamaan, namun wujud jurang antara kepentingan tersebut dengan hasil sebenar.
Menurutnya, 96 peratus responden yang meletakkan fokus pada kesejahteraan kewangan manakala hanya 30 peratus yang benar-benar melihat pendapatan persaraan mereka dan berasa yakin dengan simpanan yang ada.
“Simpanan persaraan semakin membimbangkan. Walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi teras simpanan persaraan, ramai pesara masih tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selepas bersara.
“Ia menonjolkan pentingnya literasi kewangan dan strategi simpanan yang lebih baik.
“Pendidikan kewangan amat penting bagi perancangan kewangan pekerja di setiap peringkat kehidupan.” katanya.
Selain itu, laporan sama turut mendapati sebanyak 81 peratus majikan dan 77 peratus pekerja mengakui bahawa kerja fleksibel meningkatkan keseimbangan kerja serta kehidupan.
Namun, 73 peratus majikan bimbang tentang tahap kolaborasi antara pasukan manakala 57 peratus pekerja pula bimbang tentang kurangnya interaksi, yang menonjolkan cabaran dalam mengekalkan budaya tempat kerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

