Kes pasang bendera terbalik tidak boleh dibiarkan – MB Johor

Ting Han (dua dari kiri), menyempurnakan gimik Pelan Perasmian acara perbarisan dan perarakan hari kebangsaan peringkat daerah Johor Bahru dengan pelepasan 68 ekor burung.
Ting Han (dua dari kiri), menyempurnakan gimik Pelan Perasmian acara perbarisan dan perarakan hari kebangsaan peringkat daerah Johor Bahru dengan pelepasan 68 ekor burung.
A
A
A

PASIR GUDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa perbuatan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik tidak boleh dibiarkan.

Menurut beliau, tindakan mengibarkan bendera dengan cara yang salah seolah-olah memperlekehkan simbol negeri serta negara dan perkara itu amat mendukacitakan.

"Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dibiarkan. Namun, pada masa yang sama, kita tidak boleh leka atau terperangkap dengan hal ini sehingga melupakan agenda besar kemerdekaan.

"Undang-undang mesti ditegakkan, kesilapan mesti diperbetulkan. Namun, semangat merdeka menuntut kita untuk memandang jauh ke hadapan, bagaimana Johor dan Malaysia dapat terus maju, makmur dan dihormati di mata dunia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, pada Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Tahun 2025 peringkat Daerah Johor Bahru di Laman Xtreme Pasir Gudang, di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) telah mengarahkan sebuah klinik gigi dan pasar raya mini di Pekan Nanas ditutup selama 30 hari kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di premis masing-masing.

Tambah Onn Hafiz, bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan, pihaknya menyeru semua rakyat Johor untuk menjayakan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.

"Biarlah setiap rumah, sekolah, kampung, pejabat dan premis perniagaan dihiasi dengan bendera kebanggaan kita.

"Biar bumi Johor ini menjadi lautan merah, putih, biru dan kuning, tanda cinta yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata bahawa mengibarkan bendera bukan hanya sebagai simbol, sebaliknya harus menjadi semangat yang membakar jiwa rakyat untuk terus berbakti, bekerja keras dan menyumbang kepada kejayaan negeri serta negara.

"Dengan semangat inilah Johor akan terus bangkit dan Malaysia akan terus disegani.

"Jiwa merdeka yang sebenar bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi bebas daripada belenggu pemikiran negatif, sikap berpecah belah dan prejudis.

"Jiwa merdeka adalah keteguhan rakyat untuk terus bersatu hati, memupuk integrasi sosial, memperkukuh ekonomi dan membina sebuah masyarakat yang harmoni, progresif serta berdaya saing," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!