Saya sentiasa sayang pemain United - Amorim

Amorim - Foto: AFP
Amorim - Foto: AFP
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengakui beliau menyayangi barisan pemainnya selepas meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Burnley hasil sepakan penalti lewat perlawanan oleh Bruno Fernandes.

Jurulatih dari Portugal itu sebelum ini mengakui pada Jumaat bahawa beliau “kadang-kadang benci” pemainnya, namun kerja keras yang ditunjukkan mereka pada Sabtu membuahkan hasil selepas bangkit daripada kekecewaan tersingkir dalam Piala Liga di tangan Grimsby baru-baru ini.

United sepatutnya menang dengan lebih selesa, namun terpaksa bergantung kepada keputusan kontroversi Video Bantuan Pengadil (VAR) pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Pengadil, Sam Barrott, meneliti rakaman di skrin tepi padang sebelum memutuskan bahawa tindakan Jaidon Anthony menarik jersi Amad Diallo yang bermula di luar kotak penalti wajar diberikan sepakan penalti.

United sebelum itu mendahului menerusi jaringan sendiri Josh Cullen dan gol pertama Bryan Mbeumo di Old Trafford, tetapi Burnley menyamakan kedudukan menerusi Lyle Foster dan Anthony sebelum Fernandes memastikan tiga mata penuh.

“Bila mereka berikan usaha sepenuhnya, saya sentiasa sayang mereka.

“Walaupun Amad terlepas peluang keemasan, saya tetap hargai dia kerana memberikan segalanya. Kita perlu faham bahawa tahap usaha sebegini mesti sentiasa ada.

“Kami bermula dengan baik, tetapi apabila menukar beberapa pemain, perlawanan jadi kurang sempurna dan pasukan sedikit bergelut, terutama pada babak kedua. Namun usaha mereka tetap ada. Ia berakhir dengan baik, kami layak menang, cipta banyak peluang dan sepatutnya masuk bilik persalinan dengan kelebihan lebih besar,” katanya.

Dalam aksi tersebut, Matheus Cunha dikeluarkan seawal babak pertama akibat kecederaan hamstring. Amorim memilih menggantikannya dengan Joshua Zirkzee berbanding penyerang baharu, Benjamin Sesko, yang sebelum ini menjadi pemain terakhir mengambil sepakan penalti ketika menentang Grimsby.

Artikel Berkaitan:

Mason Mount turut tidak dapat meneruskan permainan dan digantikan Kobbie Mainoo, manakala Sesko hanya dimasukkan pada minit ke-72.

“Segalanya berkaitan. Dia (Sesko) menamatkan perlawanan lawan Grimsby dengan kekejangan otot. Sebab itu kami lindungi dia daripada ambil penalti. Hari ini juga saya pilih Zirkzee kerana dia penyerang antarabangsa, sedangkan Ben belum bermain penuh 90 minit sepanjang pramusim,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!