'Jangan biarkan penjajahan minda terus berlaku' - Sanusi

Muhammad Sanusi (dua dari kanan) memulakan tujuh laungan keramat merdeka menjelang detik 12 malam, sebagai simbolik meraikan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Sabtu.
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) memulakan tujuh laungan keramat merdeka menjelang detik 12 malam, sebagai simbolik meraikan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Penjajahan minda dan cara hidup lebih berbahaya berbanding penjajahan politik atau sempadan negara kerana ia mampu meruntuhkan jati diri bangsa jika tidak dibendung.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kemerdekaan tidak memberi makna sekiranya rakyat masih taksub dengan budaya penjajah sehingga meninggalkan nilai yang menjadi pasak pembentukan negara.

Menurutnya, masyarakat hendaklah berwaspada dengan racun pemikiran seperti itu kerana ia amat berbahaya dan tidak seharusnya dibiarkan meresap dalam pemikiran generasi muda yang mungkin belum memahami perjuangan kemerdekaan yang sebenar.

“Mutakhir ini kita lihat perbuatan yang tidak sepatutnya berleluasa seperti memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau mewarnakan ia hitam putih.

"Ada juga cubaan menormalisasikan naratif baharu kononnya Bintang Tiga juga pejuang kemerdekaan.

“Saya bimbang jika ini disengajakan untuk menguji sensitiviti kita atau menyatakan hasrat tertentu mereka.

"Banyak perkara yang dahulunya dianggap pelik kini diterima sebagai normal, dikhuatiri normalisasi ini menjadi strategi senyap untuk mencapai tujuan tertentu yang terselindung,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ambang Merdeka sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 di Dataran Taman Jubli Emas, Suka Menanti pada Sabtu.

Muhammad Sanusi tegaskan, kemerdekaan mesti dipelihara, dikawal dan dipenuhi dengan pengisian yang berteraskan nilai jati diri rakyat negara ini.

“Normalisasi itu sedang berlaku di depan mata tanpa kita mampu berkata apa-apa. Kita seakan dipaksa untuk terima bulat-bulat naratif mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga berdepan kekangan termasuk undang-undang yang menyebabkan kita hanya mampu diam dan akur, perlahan-lahan kita terima itu sebagai normal.

"Ada anggap itu perkara biasa atau kebebasan dan hak asasi sehingga kita tinggalkan nilai-nilai jati diri,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan generasi hari ini bahawa nikmat kemerdekaan yang dikecapi lahir daripada perjuangan pahlawan terdahulu, alim ulama dan nasionalis yang sanggup mengorbankan nyawa demi membebaskan tanah air.

Orang ramai membanjiri Dataran Taman Jubli Emas bagi menyaksikan pelbagai persembahan sempena sambutan Ambang Merdeka.
Orang ramai membanjiri Dataran Taman Jubli Emas bagi menyaksikan pelbagai persembahan sempena sambutan Ambang Merdeka.

“Tidak ada maknanya kemerdekaan tanpa kedaulatan, tidak ada kedaulatan yang hanya semata-mata laungan dan teriakan slogan.

“Merdekakan jiwa untuk menghayati kemerdekaan sebenar. Jiwa yang merdeka tetap akan merdeka meskipun jasad dipenjara. Jiwa yang terpenjara tetap akan terpenjara meskipun jasadnya merdeka. Pilihlah kemerdekaan mana yang kita mahukan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut berpesan agar rakyat mengambil pengajaran daripada negara lain seperti Palestin yang hilang kebebasan akibat lalai mempertahankan kemerdekaan.

“Kita perlu ambil pengajaran agar kemerdekaan yang kita kecapi dapat dipertahankan, jangan terjadi seperti di Palestin mahupun negara-negara lain yang dijajah,” katanya.

Sanusi turut berkongsi sejarah pemilihan tarikh kemerdekaan negara, iaitu 31 Ogos 1957 yang ditentukan oleh seorang ulama terkenal, Syeikh Abdullah Fahim.

“Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika itu mendapatkan pandangan Syeikh Abdullah Fahim mengenai tarikh sesuai untuk diisytiharkan kemerdekaan, lalu dipilih 5 Safar 1377 Hijrah yang secara kebetulan bersamaan dengan 31 Ogos 1957.

“Syeikh Abdullah Fahim sentiasa menjadi rujukan nusantara, pakar ilmu falak dan datuk kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Inilah tokoh yang turut mencatat sejarah dalam penentuan tarikh keramat kemerdekaan negara,” jelasnya.

Sambutan Ambang Merdeka itu turut dimeriahkan dengan deklamasi sajak, pantomin kemerdekaan selain persembahan penyanyi terkenal, Datuk Awie.

Acara kemuncak secara simboliknya dimulakan dengan tujuh laungan keramat merdeka menjelang detik 12 malam, diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang di hadapan pentas utama sambil diiringi lagu Negaraku.

Tembakan bunga api dan persembahan bertenaga kumpulan Jabatan Kesenian Negeri Kedah bersama Awie menutup tirai sambutan Ambang Merdeka 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!