Rusuhan Indonesia: Prabowo batal lawatan ke China

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto membatalkan lawatannya ke Beijing, China termasuk menghadiri pertemuan dengan Presiden Xi Jinping dan menyaksikan perarakan angkatan tentera negara Tembok Besar itu yang dijadualkan pada minggu pertama September 2025.
Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, Prabowo memutuskan untuk tidak menerima pelawaan Xi kerana mahu memantau secara langsung ketegangan di beberapa wilayah sejak beberapa hari lalu.
"Disebabkan situasi dalam negara, Presiden ingin terus memantau dan mempimpin secara langsung serta mencari penyelesaian terbaik.
“Oleh itu, Presiden dengan rendah hati dan memohon maaf kepada kerajaan China, telah memutuskan untuk tidak menghadiri undangan daripada kerajaan China," katanya.
Prasetyo sebelum ini menjelaskan bahawa Prabowo sebelum ini mempertimbangkan untuk menerima jemputan kerajaan China termasuk pelawaan berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 di New York, Amerika Syarikat pada 23 September 2025.
"Pada September lalu, Presiden menerima beberapa jemputan daripada pelbagai pihak, salah satunya adalah jemputan untuk menghadiri perhimpunan tahunan PBB di New York. Ini antara faktor yang beliau pertimbangkan dalam memutuskan sama ada menghadiri atau tidak jemputan daripada kerajaan China," ujarnya.
Berhubung agenda Beijing, Xi menjemput Prabowo dan 25 ketua negara lain termasuk pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menghadiri perarakan tentera.
Keadaan di Indonesia tegang apabila berlaku demonstrasi besar-besaran pada 25 Ogos lalu di beberapa wilayah antaranya Jakarta, Makassar, Bandung, Solo, Semarang, Surabaya dan Yogyakarta.
Di Jakarta, rusuhan memuncak selepas penunggang teksi motosikal dalam talian, Affan Kurniawan, 21, maut dirempuh kenderaan taktikal Barracuda milik Briged Bergerak Polis Negara Indonesia (Brimob) di lokasi pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di kawasan Bendungan Hilir Jakarta.
Penunjuk perasaan yang pada mulanya membantah elaun perumahan anggota Dewan Rakyat (DPR) dan perangai angkuh segelintir wakil rakyat, kini turut membantah kezaliman polis dalam menangani penunjuk perasaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

