Dua beradik, ibu saudara ditemui mati dalam rumah di Port Dickson

PORT DICKSON - Seorang lelaki dan dua wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Tanjung di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Port Dickson pada jam 12.20 tengah malam mengenai kematian kesemua mangsa.
"Siasatan awal dijalankan mendapati, dua mayat dijumpai di bahagian ruang tamu dan satu lagi di atas katil bilik tidur.
"Ketiga-tiga mayat berada dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian yang mana dua mangsa berusia lingkungan 38 tahun manakala seorang lagi 56 tahun," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, seorang dikenal pasti mempunyai penyakit kronik manakala seorang lagi merupakan orang kurang upaya sindrom.
Jelas beliau, kesemua mereka mempunyai pertalian keluarga iaitu lelaki dan wanita berusia lingkungan 38 tahun itu adalah adik-beradik manakala seorang lagi wanita merupakan ibu saudara.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh kesemua mangsa tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan atau perlakuan jenayah.
"Selain itu tidak ada kesan geledah rumah atau kehilangan barang peribadi mangsa," katanya.
Alzafny berkata, kesemua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk siasatan lanjut dan bedah siasat akan dijalankan pada Selasa depan (2 September), jam 9 pagi.
Tambahnya, kes kematian tiga sekeluarga terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

