Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kereta selepas hadiri parti hari jadi

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam keretanya dengan kesan buih pada mulut selepas menghadiri sebuah parti hari jadi di pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini pada Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian itu disedari rakan-rakan mangsa kira-kira jam 8.41 pagi semasa lelaki itu dilihat tidak sedarkan diri di dalam kenderaannya yang diparkir di luar premis berkenaan.
"Lelaki berusia 34 tahun itu difahamkan hadir ke pusat hiburan tersebut sempena sambutan hari jadi seorang kenalan.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai penjual alat ganti kenderaan dikatakan mengalami sesak nafas dan rasa panas badan selepas berada di dalam premis berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.
Rusdi berkata, lelaki itu kemudian keluar untuk menenangkan diri dan duduk di dalam keretanya.
"Tidak lama kemudian, dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan buih di mulut,” katanya.
Jelas Rusdi, tiada sebarang kecederaan dikesan dalam kejadian tersebut.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan bedah siasat telah dijalankan malam tadi (Ahad) namun keputusan masih belum diperoleh kerana menunggu hasil ujian toksikologi.
“Setakat ini, tiada sebarang elemen jenayah dikesan dan kes masih dalam siasatan lanjut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
