Anggota polis ditemukan meninggal dunia di rumah sewa

KAJANG - Seorang anggota polis ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Mahkota Cheras di sini, pada Selasa, akibat saluran jantung tersumbat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang anggota polis yang memaklumkan rakan setugasnya telah meninggal dunia pada jam 11.59 pagi.
"Hasil bantuan pihak bomba dan penyelamat telah membuka pintu rumah sewa itu mendapati mangsa berusia 37 tahun yang juga anggota polis di Pasukan Simpanan Persekutuan, Cheras, disahkan telah meninggal dunia oleh pihak perubatan Hospital Kajang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Naazron berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Kajang mendapati punca kematian adalah saluran jantung tersumbat.
"Kes diklasifikasi sebagai siasatan kematian mengejut (SDR).
"Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan ke Balai Polis Kajang atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Zharif Shah Ab Rashid di talian 012-5925390 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
