Hilang tiga minggu, gadis ditemui mati dalam parit

JAWA TIMUR - Teka teki kehilangan seorang mahasiswa universiti yang dilaporkan hilang sejak 25 Mac lalu, akhirnya berakhir tragis apabila mayatnya ditemui dalam keadaan membusuk di kawasan Lawu, Magetan, pada 12 April lalu.
Sheila Amelia Christanti, yang berusia 21 tahun, dilaporkan hilang selepas beliau memulakan perjalanan seorang diri dari Yogyakarta menuju Madiun untuk bercuti.
Menurut pihak polis, Sheila meninggalkan rumah sewa sekitar jam 11.03 pagi (waktu tempatan) dan terakhir kali dilihat di kawasan Lawu sekitar jam 3 petang.
Kehilangan Sheila menimbulkan kebimbangan keluarga dan pihak berkuasa yang segera melancarkan operasi mencarinya.
Pada 12 April, selepas 19 hari menghilang, mayat Sheila ditemui di dalam parit berhampiran kawasan Lawu Green Forest.
Ketika ditemui, keadaan mayat yang sudah membusuk sukar dikenali, namun pihak berkuasa berjaya mengenal pasti identiti Sheila melalui barang peribadi yang dijumpai di lokasi kejadian, seperti gelang tangan dan pendakap gigi.
Menurut laporan awal daripada pihak polis, motosikal dinaiki Sheila dipercayai telah terbabas dan terjatuh ke dalam parit semasa perjalanan pulang ke rumah sewanya.
Motosikal yang digunakan Sheila juga dijumpai terbalik di dalam parit dan mayatnya terperangkap di bawah kenderaan tersebut.
Keadaan ini menjadikannya sukar dilihat oleh pengguna jalan lain yang melalui kawasan tersebut.
Doktor yang memeriksa mayat Sheila menganggarkan bahawa beliau sudah meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum ditemui, iaitu sekitar 9 April lalu.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang tanda kekerasan atau jenayah dan ini mengesahkan bahawa kejadian ini kemungkinan besar merupakan kemalangan jalan raya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!